Atuk perosak harta

Vázquez yang didakwa mengguris 120 kereta.

MADRID: Seorang warga emas membingungkan masyarakat sekeliling apabila merosakkan 1,000 kereta sepanjang tahun lalu, malah perangai buruknya itu berterusan sehingga tahun ini dengan lebih 100 kenderaan terkena nasib sama sepanjang Januari.

José Antonio Vázquez Vázquez, 79, dilaporkan mengguriskan kereta yang diparkir atas jalan di barat laut Sepanyol. Malah, warga emas itu terkenal perengus dan tidak takut bertengkar dengan sesiapa yang bersemuka dengannya, termasuk memukul menggunakan tongkatnya.

Vázquez ditahan untuk kali ke-12, baru-baru ini dengan pemeriksaan mental turut diarahkan, namun dia didapati tiada masalah psikiatrik sebelum dibebaskan, walaupun didakwa mengguris 120 kereta pada bulan pertama 2019 saja.

Rangkaian televisyen Sepanyol, Tele Cinco baru-baru ini menemu bual Vázquez, yang mendakwa tidak ingat melakukannya.

“Saya sakit dan tidak dapat mengenal pasti arah atau tempat,” dakwanya.

Dia turut menyasarkan premis perniagaan tempatan, dengan mencucuk pencungkil gigi ke dalam tempat kunci menyebabkan mereka tidak dapat membuka kedai.

Tabiat buruk Vázquez dipercayai mengakibatkan kerugian bernilai AS$573,000 (RM2.3 juta), lapor Daily Mail. – Agensi

SEORANG penduduk menunjukkan kesan guris pada keretanya. FOTO Daily Mail

229