Skuad Tambadau temui peminat hari ini

Sebelum memulakan saingan Liga Malaysia (Liga-M) yang bakal membuka tirainya Sabtu ini, pasukan Sabah akan mengadakan sesi bertemu peminat di kompleks beli-belah Suria Sabah di Kota Kinabalu, hari ini (Khamis, 31 Januari).

Selain skuad utama negeri itu, program itu nanti juga akan turut disertai pasukan Piala Presiden serta Piala Belia Sabah.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Andrew Majanggim, berkata program yang dianjurkan persatuan berkenaan dengan kerjasama Ararat Sports and Souvenirs itu adalah bagi menghargai sokongan penyokong pasukan itu di samping menyemarakkan lagi semangat mereka bagi mengharungi musim baru nanti.

“Selain berpeluang untuk bertemu serta bergambar dengan para pemain, penyokong yang datang juga berpeluang untuk mendapatkan baju ‘Tambadau’ secara percuma…kita akan sediakan 100 helai baju.

“Selain itu, kita juga akan mengadakan kuiz bola kepada para penyokong yang hadir dengan beberapa hadiah menarik bakal mereka menangi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menjemput penyokong Sabah, termasuk kelab-kelab penyokong, untuk datang beramai-ramai bagi memeriahkan program itu.

Pasukan Sabah yang kini menggunakan maskot Tambadau, iaitu panggilan bagi seladang dalam kalangan penduduk tempatan, akan memulakan kempen Liga Perdana mereka Sabtu ini bertemu Johor Darul Ta’zim II (JDTII) di gelanggang sendiri. – Astro Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *