KPDNHEP Sabah Sita Telefon Bimbit, Aksesori Tiruan Bernilai Lebih RM25,000

Ravichandran Vadivellu menujukkan telefon pintar, tablet serta aksesori yang dirampas hasil serbuan ke atas tiga premis di Kota Kinabalu. Foto Ihsan KPDNHEP

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah merampas 105 unit telefon pintar tiruan jenama VIVO selepas menyerbu tiga premis di Kota Kinabalu, hari ini.

Serbuan pada jam 11 pagi itu dijalankan tiga pasukan membabitkan 15 pegawai KPDNHEP, susulan maklumat dan aduan daripada pemilik Cap Dagang VIVO.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Sabah, Ravichandran Vadivellu berkata, nilai keseluruhan rampasan termasuk aksesori dianggarkan bernilai RM25,959.

“Hasil pemeriksaan di premis pertama, KPDNHEP menyita 81 unit telefon pelbagai model jenama VIVO, aksesori termasuk pengecas telefon serta ‘power bank’ dengan nilai rampasan dianggarkan RM14,152.

“Di premis kedua, sebanyak 15 unit telefon pelbagai model jenama VIVO, 46 unit power bank, pengecas telefon serta sembilan unit tablet yang semuanya bernilai RM7,506.

“Sebanyak sembilan unit telefon jenama sama pelbagai model dan 10 unit tablet dirampas di premis ketiga dengan nilai rampasan dianggarkan RM4,301,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Ravichandran berkata, ketiga-tiga premis itu dipercayai menjual telefon bimbit VIVO tiruan diperihalkan sebagai dikilangkan di Malaysia, namun produk sebenar hanya dikilangkan di China.

Ravichandran Vadivellu menunjukkan telefon tiruan, tablet serta aksesori yang dirampas hasil serbuan ke atas tiga premis di Kota Kinabalu hari ini.

“Mereka menjualnya pada harga lebih rendah daripada produk asli dan terdapat juga model yang tidak pernah dikeluarkan oleh VIVO,” katanya.

Beliau berkata, beberapa ciri telefon dan aksesori yang dikenalpasti terhadap produk dirampas seperti bateri tidak boleh dibuka atau ditanggalkan daripada telefon, selain VIVO tidak pernah mengeluarkan tablet.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 dan jika sabit kesalahan boleh didenda RM10,000 bagi setiap barang atau penjara tiga tahun, manakala syarikat boleh didenda RM15,000 bagi setiap barang. – Harian Metro

316