SEORANG bapa nekad bergelut dan menggigit kaki buaya selepas haiwan ganas itu mengheret anaknya yang berenang di sungai berhampiran rumah mereka di bandar Balabac, wilayah Palawan, Filipina.
Mail Online melaporkan, kejadian berlaku ketika kanak-kanak itu, Diego Abulhasan, 12, berenang bersama adiknya sebelum dibaham reptilia terbabit yang cuba menyeretnya ke dasar sungai.
Tejada Abulhasan yang terdengar jeritan anaknya meminta tolong terus meluru ke sungai sambil membawa kayu dan menghentak kepala buaya itu berkali-kali namun ia enggan melepaskan gigitan.
Kerana marah, Tejada terjun ke dalam sungai dan menggigit kaki buaya itu menyebabkan haiwan berkenaan melepaskan gigitannya lalu terus beredar meninggalkan mangsa.
Tejada memberitahu polis, dia tidak teragak-agak untuk terjun ke dalam sungai untuk berdepan dengan buaya terbabit demi untuk menyelamatkan anaknya.
“Ia sangat mencemaskan dan saya tidak ada masa untuk berfikir panjang. Saya memukul buaya itu namun ia enggan melepaskan anak saya.
“Jadi saya terpaksa bergelut dengan haiwan itu dan agak mengerikan apabila berdepan secara dekat. Secara tiba-tiba saya menggigit kaki buaya itu dengan kuat seperti anjing Rottweiler,” katanya. – Daily Mail