Jambatan Kayu Jalan Kampung Di Sabah Akan Diganti Konkrit – Peter Anthony

Datuk Peter Anthony (baju putih) memeriksa jambatan kayu yang rosak di Jalan Hobut, Kampung Kebagaan, Matunggong pagi tadi. – Gambar Bernama

KUDAT, 29 Jan 2019 : Semua jambatan kayu yang menjadi penghubung utama di jalan-jalan kampung khususnya di kawasan luar bandar akan digantikan dengan konkrit.

Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Peter Anthony berkata kebanyakan struktur jambatan kayu itu sudah lama, yang dibina sejak 20 hingga 30 tahun lepas.

Sudah sampai masa jambatan kayu yang menjadi laluan utama penduduk kampung digantikan dengan konkrit supaya ia tahan lama. Jambatan kayu yang lama menyebabkan ia mudah rosak apabila berlaku banjir dan menjejaskan pergerakan penduduk kampung, katanya

“Terdapat banyak jambatan kayu digunakan sebagai penghubung jalan di kebanyakan kampung di negeri ini, mungkin jumlahnya ada beribu yang sudah dalam keadaan usang dan perlu diganti baru,” katanya ketika meninjau jambatan kayu yang rosak di Jalan Hobut Kampung Kebagaan Matunggong dekat sini, hari ini.

Peter berkata beliau telah mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) meneliti perkara itu yang menjadi antara perancangan kementeriannya untuk meningkatkan infrastruktur jalan raya di negeri ini.

Mengenai kerosakan jambatan di Jalan Hobut, Peter berkata pihak JKR telah diminta membaik pulih jambatan itu dengan segera dan akan diselesaikan dalam masa terdekat ini.

Buat sementara waktu, kayu masih digunakan untuk kerja baik pulih jambatan itu disebabkan keperluan segera penduduk kampung yang menggunakannya.

Menurutnya kerosakan jambatan itu disebabkan banjir semalam menjejaskan aktiviti harian kira-kira 400 penduduk dari tiga kampung.

Dalam perkembangan berkaitan, Peter berkata semua jalan raya yang rosak dan runtuh disebabkan banjir di daerah Matunggong, Pitas dan Ranau telah dibaiki dengan segera oleh JKR supaya ia tidak menjejaskan pergerakan penduduk kampung.

Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan dan bantuan Kerajaan Negeri kepada 680 mangsa banjir bagi daerah Matunggong di Dewan Terbuka Pekan Baru Matunggong dekat sini.

— BERNAMA 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *