Ahmad Dhani dihukum penjara

Penyanyi popular Indonesia, Ahmad Dhani. FOTO Agensi
PENYANYI popular Indonesia, Ahmad Dhani. FOTO Agensi

JAKARTA: Penyanyi popular Indonesia, Ahmad Dhani dihukum penjara 18 bulan selepas didapati bersalah menyebarkan mesej kebencian di Twitter.

Detik News melaporkan, hakim Ratmoho membacakan hukuman itu dalam perbicaraan di sebuah mahkamah di Jakarta Selatan hari ini.

“Tertuduh Dhani Ahmad Prasetyo atau Ahmad Dhani terbukti secara sah dan yakin bersalah melakukan kesalahan berkenaan,” katanya.

Ahmad Dhani, 46, didapati bersalah menyebarkan mesej berunsur kebencian dalam tiga kenyataan di Twitter @AHMADDHANIPRAST.

Kenyataan itu dimuat naik oleh pengendali Twitter berkenaan iaitu Bimo yang menjadi saksi.

“Saksi memberitahu dia menyebarkan kenyataan itu atas arahan tertuduh,” kata Ratmoho.

Kenyataan pertama yang dimuat naik adalah “Yang menistakan agama si Ahok…yang diadili KH Ma’ruf Amin”.

Kenyataan kedua pula adalah “Siapa saja dukung penista agama adalah bajingan yang perlu diludahi mukanya,”.

Yang ketiga pula adalah “Kalimat sila pertama KETUHANAN YME, PENISTA Agama jadi Gubernur…kalian WARAS??? – ADP,”.

Ahmad Dhani mengeluarkan kenyataan itu ketika bantahan terhadap bekas Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama atau dikenali sebagai Ahok yang dituduh menghina agama Islam sebelum pemimpin itu dihukum penjara.

Bekas anggota kumpulan Dewa 19 itu sebelum ini dituntut pihak pendakwa raya dihukum penjara 2 tahun. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *