Polis Sabah tumpu 30 kawasan ‘black spot’

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah

KOTA KINABALU: Sebanyak 30 kawasan dikenal pasti lokasi panas atau ‘black spot’ kemalangan jalan raya di negeri ini menerusi Op Selamat 14 sempena Tahun Baharu Cina.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah, berkata operasi bermula esok hingga 12 Februari membabitkan 288 pegawai dan anggota polis melalui konsep ronda dan statik di 30 lokasi terbabit.

“Ini bagi memastikan penurunan kadar kemalangan jalan raya dan kelancaran lalu lintas di kawasan yang dikenal pasti kerap berlaku kemalangan,” katanya ketika melancarkan Op Selamat Ke-14 di sini, hari ini.

Omar berkata, menerusi konsep statik, polis menggunakan kanopi di kawasan strategik yang menjadi tempat pertemuan polis trafik dan lain-lain agensi seperti Jabatan Pengangkutan Jalan serta Jabatan Keselamatan Jalan Raya.

“Pada masa sama, kanopi ini boleh dijadikan ‘One Stop Centre’ sebagai pusat sumber maklumat dan perkhidmatan setempat termasuk membuat aduan berkaitan sebarang masalah atau kesulitan.

“Ia juga beroperasi 24 jam dan ini memantapkan keberkesanan polis melalui kehadiran anggota dan peranan polis trafik secara lebih intensif di lokasi black spot,” katanya.

Beliau berkata, statistik Op Selamat di Sabah bagi tahun lalu meningkat 87 kes berbanding Op Selamat 2017.

“Bagi kategori mangsa maut pula, Op Selamat 2017 dan 2018 masing-masing merekodkan 18 dan 13 kematian, iaitu penurunan sebanyak lima kes,” katanya. – Berita Harian

245