CANBERRA: Seorang wanita berdepan detik menakutkan selepas dipatuk ular sawa sepanjang 1.5 meter ketika menggunakan tandas duduk di rumahnya.
Dalam kejadian Selasa lalu, Helen Richards, 59, berkata, dia menggunakan tandas duduk di rumahnya di Brisbane sebelum terasa ada sesuatu menggigit belakangnya.
Helen segera menoleh dan terkejut apabila melihat kepala ular di dalam lubang mangkuk tandasnya.
“Saya terus melompat dari tempat duduk. Apabila menjenguk kembali, saya lihat kepala ular itu masuk semula ke dalam lubang tandas,” katanya kepada akhbar The Courier Mail.
Helen bernasib baik kerana gigitan ular sawa tidak berbisa dan tidak mendatangkan kecederaan serius. Dia hanya dirawat dengan ubat antikuman.
Dia menghubungi penangkap ular, Jasmine Zeleny yang kemudian berjaya menangkap reptilia itu.
“Ular itu berada dalam keadaan ketakutan kerana terperangkap di dalam lubang tandas berkenaan.
“Ketika sampai, Helen sudah menutup mangkuk tandas itu dan ular berkenaan juga sudah tenang menjadikan kerja saya lebih mudah. Helen berjaya mengendali situasi itu dengan baik,” kata Jasmine kepada BBC.
Ular sawa karpet dianggap biasa di Australia dan sering masuk ke dalam tandas untuk mencari air ketika cuaca panas. – Agensi