Penduduk Minta Campur Tangan Ketua Menteri Hentikan Pembalakan Di Tatalaan, Nabawan

Penduduk yang juga benefisiari Geran Komunal Tatalaan 2 dalam demonstrasi aman merayu campur tangan Ketua Menteri pada Sabtu lalu. Gambar SNT/Chris Maskilone

NABAWAN: Lebih kurang 250 orang penduduk dari Mukim Tatalaan merayu agar Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal campur tangan bagi menghentikan aktiviti pembalakan dalam kawasan Geran Komunal Tatalaan 2 yang berkeluasan 9,000 ekar di sini.

Penduduk tersebut yang terdiri daripada ketua keluarga benefisiari Geran Komunal Tatalaan 2 membuat rayuan itu dalam satu demonstrasi aman Sabtu lalu.

Mereka mendakwa sebuah syarikat telah mendapat kelulusan daripada Jabatan Perhutanan bulan lalu untuk membalak dan mengeluarkan kayu dari kawasan Geran Komunal Tatalaan 2.

Geran Komunal Tatalaan 2 diluluskan oleh Kerajaan Negeri pada bulan April tahun lalu.

Mereka turut mendakwa syarikat ini adalah kroni bekas Ketua Menteri Sabah, kerajaan lalu.

Agnes Andrew. Gambar Fail SNT

“Kami terpaksa merayu kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk campur tangan dalam hal ini agar kelulusan pembalakan tersebut dibatalkan dengan segera kerana kami tidak percaya kepada syarikat ini.

“Kami mensyaki mereka hanya berminat terhadap kayu balak dan tidak berminat bekerjasama dengan penduduk untuk memajukan tanah tersebut,” kata jurucakap kepada penduduk, Agnes Andrew.

Agnes yang juga salah seorang dari 400 benefisiari Geran Komunal Tatalaan 2 berkata mereka juga memohon supaya siasatan dapat dijalankan bagaimana towkay balak yang sama diberi kelulusan bagi kawasan balak yang begitu besar di Nabawan oleh pemegang amanah geran komunal iaitu Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur.

“Kami difahamkan bahawa towkay balak tersebut telah mendapat kelulusan untuk pembalakan di tiga kawasan Geran Komunal iaitu Atulai (10,773 ekar), Sabenait (6,301 ekar) dan Longongon (8,000 ekar) di Nabawan semasa era BN tetapi tidak satu pun kawasan tersebut dapat dimajukan untuk penduduk-penduduk tersebut setakat ini,” katanya.

Agnes berkata mereka turut memohon kepada Ketua Menteri supaya siasatan dapat dijalankan bagaimana kelulusan boleh dikeluarkan dengan begitu cepat walaupun terdapat bantahan dari benefisiari serta tanpa ada Laporan Kajian Alam Sekitar atau EIA.

“Kami risau syarikat pembalakan tersebut akan merosakkan kawasan tadahan air dan kawasan hutan yang perlu dikekalkan untuk tujuan eko perlancongan,” kata Agnes.

“Kami mengambil keputusan membuat rayuan kepada Ketua Menteri sebagai jalan akhir  sebelum kawasan hutan di sini rosak,” katanya.

Sumber -SabahNewsToday
Artikel Asal : https://www.sabahnewstoday.com/16112/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *