IPC batal hak penganjuran Malaysia

Presiden IPC, Andrew Parsons. – Foto Reuters

LONDON: Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) membatalkan hak penganjuran Malaysia untuk menjadi tuan rumah Kejohanan Renang Para Dunia 2019 yang akan diadakan di Kuching pada 29 Julai hingga 4 Ogos ini.

Keputusan itu diputuskan pada mesyuarat di London selepas Kementerian Dalam Negeri Malaysia gagal memberikan jaminan diperlukan oleh perenang Para Israel untuk menyertai kejohanan, bebas dari diskriminasi dan selamat dalam kejohanan.

Presiden IPC, Andrew Parsons menjelaskan semua Kejohanan Dunia perlu terbuka kepada semua atlet dan negara yang layak untuk bersaing dengan selamat dan bebas daripada diskriminasi.

Beliau berkata, apabila negara tuan rumah tidak memasukkan atlet dari negara tertentu, atas alasan politik, pihaknya sama sekali tiada pilihan kecuali mencari tuan rumah baharu bagi kejohanan itu.

“Pergerakan Paralimpik sentiasa akan diteruskan, didorong oleh keinginan untuk memacu kemasukan, bukan pengecualian. Tidak kira negara yang terbabit dalam perkara ini, IPC akan mengambil keputusan sama dalam situasinya sama walaupun negara berbeza.

“Pada September 2017 apabila IPC menandatangani kontrak dengan Majlis Paralimpik Malaysia untuk menjadi tuan rumah Kejohanan Renang Para Dunia, kami mendapat jaminan bahawa semua atlet dan negara yang layak dibenarkan menyertai acara ini dengan jaminan keselamatan mereka.

“Namun, terdapat perubahan kepimpinan politik dan kerajaan Malaysia yang baharu dan mempunyai idea berbeza. Kami kecewa atlet Israel tidak dibenarkan bersaing di Malaysia.

“Seperti keputusan hari ini, kami kini mencari tuan rumah baharu untuk Kejohanan Dunia yang penting ini, yang menjadi medan untuk kelayakan ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020,” katanya.

“Kami akan berusaha untuk mengekalkan tarikh dan syarat yang sama untuk kejohanan supaya tidak mengganggu jadual latihan atlet yang bertujuan untuk mencapai tahap terbaik pada akhir Julai dan awal Ogos.”

Pengerusi Majlis Atlet IPC, Chelsey Gotell, berkata pihaknya menerima banyak maklum balas daripada atlet di seluruh dunia berkenaan situasi berkenaan.

“Kami sudah membincangkan semua hasil yang berpotensi dan berhubung dengan Kumpulan Penasihat Atlet Renang Para Dunia untuk mengumpul maklum balas mereka mengenai situasi ini bagi memastikan suara atlet dapat dilihat dalam perbincangan dan keputusan Lembaga IPC.” – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *