Tindakan Musbah sertai Warisan lebih kepada kepentingan peribadi – Hajiji


KOTA KINABALU, 26 Jan -Tindakan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tempasuk Datuk Musbah Jamli menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan) adalah lebih kepada mempunyai kepentingan peribadi, kata bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Hajiji Noor.

Hajiji yang juga ADUN Sulaman, berkata tindakan Musbah menyertai Warisan bertentangan dengan persetujuan bersama dicapai antara bekas wakil rakyat UMNO ketika bersama-sama mengisytiharkan keluar daripada UMNO pada 12 Dis lepas.

“Tindakan Musbah juga jelas bahawa dia seorang yang tidak ada prinsip dan pendirian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Musbah yang juga mantan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kota Belud adalah antara sembilan bekas ADUN UMNO Sabah yang sebulat suara bersama-sama meninggalkan parti itu pada awal Disember 2018.

Hajiji berkata walaupun tindakan Musbah itu adalah hak demokrasi beliau, ia tidak disukai sebilangan rakyat.

“Saya yakin rakyat akan menolak dan menghukum pemimpin sedemikian pada pilihan raya akan datang. Saya yakin Musbah akan menyesal dengan tindakannya kerana ia tidak selari dengan aspirasi pengundi dan rakyat yang telah mengundi beliau,” katanya.

— BERNAMA

235