Kilang sawit kedua Benta Wawasan dijangka siap pada 2021

Datuk Seri Panglima Haji Mohd. Shafie bin Haji Apdal  tiba di majlis perhimpunan korporat Benta Wawasan Sdn Bhd (BWSB) di ketua menteri Sabah, di Dewan Serbaguna, Ladang Seraya

TAWAU, 26 Jan – Benta Wawasan Sdn Bhd (BWSB) menyasarkan pembinaan kilang kelapa sawit keduanya siap pada 2021 dalam usaha meningkatkan kapasiti pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) syarikat itu.

Sehubungan itu, Ketua Pegawai Eksekutif BWSB Dalahan Buduk berkata ahli lembaga pengarah BWSB akan mengunjungi tapak pembinaan kilang tersebut esok yang terletak di kawasan ladang miliknya dekat sini.

Kilang Sawit Benta Wawasan

“Pada masa ini kilang kelapa sawit pertama BWSB yang beroperasi pada 2014 mampu menghasilkan lebih kurang 6,000 tan metrik MSM sebulan.

“Kilang ini juga mampu menghasilkan sejumlah 1,200 tan metrik sebulan isirong sawit dan kami yakin ia mampu menghasilkan lebih banyak lagi kedua-dua bahan berkenaan.

“Kami juga dalam usaha meningkatkan kapasiti pemprosesan kilang ini daripada 45 tan metrik sejam kepada 60 tan metrik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perhimpunan korporat BWSB bersama Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Dewan Serbaguna, Ladang Seraya dekat sini, hari ini.

Selain itu, Dalahan berkata pengeluaran tanda buah segar (FFB) BWSB bagi 2018 meningkat kepada 447,688 tan metrik yang terbukti melepasi peruntukan sasaran ditetapkan sebanyak 102 peratus.

“Walaupun tempoh November sehingga akhir Disember 2018 menyaksikan aliran harga pasaran MSM susut agak drastik sehingga mencapai RM1,717.50 (satu tan metrik), namun pelbagai langkah penjimatan telah dilaksanakan bagi meminimumkan kos pengeluaran,” katanya.

Beliau turut optimis aktiviti perladangan kelapa sawit BWSB juga boleh dimanfaatkan sebagai destinasi ekopelancongan jika dirancang secara teratur serta mendapat promosi sewajarnya.

— BERNAMA

867