PPM Sandakan Tahan Bot Yang Dikendali Warga Filipina Cuba Seludup Barang Kawalan

Gambar Ihsan Pasukan Polis Marin Sabah

SANDAKAN – Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan menahan sebuah bot dikendalikan seorang warga Filipina berisi sejumlah barang kawalan, awal pagi tadi.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Mohamad Pajeri Ali berkata bot terbabit ditahan kira-kira 5.30 pagi oleh pasukan polis berkenaan semasa menjalankan rondaan ‘Ops Pensura’ di kawasan timur laut Pulau Berhala, Sandakan.

“Bot dikendalikan seorang lelaki Filipina berumur 34 tahun itu ditahan bersama seorang anak kapal, seorang lelaki tempatan oleh bot ronda PSC 63 PPM Sandakan.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas bot tersebut menjumpai barang kawalan, minyak diesel 2,500 liter, 12 paket beras jenama VWR 10 kilogram (kg), empat paket beras cap Anggur 5kg dan 19 paket gula pasir 1kg.

“Selain itu 10 paket tepung gandum jenama Muhibbah 1kg, lima paket tepung gandum cap Kuda 1kg, 17 paket minyak masak jenama Ah Yammi dan tujuh unit tong gas LPG jenama MyGaz,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Mohd Pajeri berkata juragan Filipina itu gagal mengemukakan Surat Pembelian Barangan Kawalan Berjadual daripada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Beliau berkata kesemua barangan tersebut dirampas, termasuk bot kayu dan seunit enjin dengan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM42,430.

“Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. Bot diiring ke pangkalan Markas Operasi PPM untuk tindakan lanjut,” katanya.

— BERNAMA

Gambar Ihsan Pasukan Polis Marin Sabah
Gambar Ihsan Pasukan Polis Marin Sabah
Gambar Ihsan Pasukan Polis Marin Sabah
Gambar Ihsan Pasukan Polis Marin Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *