‘Keputusan di tangan Adira’

PENYANYI, Adira Suhaimi, kini muncul dengan single berjudul Pujaan Hati. 

KUALA LUMPUR: Hampir seminggu berlalu, Nova Music memaklumkan tidak menerima sebarang permintaan daripada Adira untuk memotong babak bersentuhan mahu pun memadam video muzik Pujaan Hati seperti digesa suami penyanyi itu.

Pengarah Urusannya, Rosmin Hashim, berkata mereka menghormati status Datuk Seri Adnan Abu sebagai suami, namun segala keputusan terletak di tangan Adira memandangkan kontrak rakaman dan pengurusan ditandatangani artis itu sendiri.

“Setakat ini pun, saya cuma maklum mengenai rasa kurang senang suaminya menerusi media. Dia tidak menghubungi saya atau pun wakil syarikat berhubung video muzik berkenaan.

“Apa pun gesaannya, kami tidak boleh memenuhi permintaan terbabit memandangkan ia disuarakan di laman sosial, bukan diajukan secara terus kepada Nova Music. Adira sendiri tidak membuka mulut berhubung perkara itu.

“Sebelum penggambaran, pengarah dan produksi sudah memperincikan setiap babak yang berkaitan dengan lagu baharunya, malah Adira menerima segala idea terbabit,” katanya kepada BH Online.

PENGARAH Urusan Nova Music, Rosmin Hashim dan Adira pada majlis pelancaran single dan video muzik Pujaan Hati di Redbox, The Gardens Kuala Lumpur.

Terdahulu, Adnan meluahkan kekesalan atas tindakan Adira yang dikatakan tidak menghormati kedudukannya sebagai suami apabila memegang tangan model lelaki dalam video muzik itu.

Dia yang juga dikenali sebagai Datuk Red menegaskan akan mengambil tindakan tegas, termasuk memadamkan klip berkenaan selepas peringatannya tidak dipedulikan.

Sementara itu, Rosmin menjelaskan, isu lagu yang turut menjadi runut bunyi (OST) drama Pujaan Hati Kanda itu bukan bertujuan meraih publisiti, sebaliknya ia berlaku di luar jangkaan.

ADIRA dan suami, Datuk Seri Adnan Abu. – Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Pihaknya percaya, pasangan berkenaan dapat berbincang dengan matang bagi mencari penyelesaian supaya ia tidak berpanjangan.

“Bagi saya, ada jalan penyelesaian bagi setiap masalah yang timbul dan biarlah mereka berbincang kerana kami sekadar mengikut permintaan Adira.

“Sebelum melaksanakan setiap perkara, kami selaku syarikat pengurusan perlu merujuk dulu pendapatnya, termasuk sebelum penggambaran dibuat, awal tahun ini.

“Seperti dipinta Adira ketika pelancaran Pujaan Hati, dia enggan lagi terbabit dalam kontroversi dan inilah juga harapan Nova Music selaku syarikat yang memayungi kerjaya seninya,” katanya.

Setakat ini, video muzik yang menelan kos RM15,000 itu sudah mencecah tontonan hampir 250,000 kali selepas seminggu dikongsi di YouTube, manakala video lirik yang dimuat naik sebulan lalu meraih 1.3 juta tontonan. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *