Peniaga lega bakal kembali ke Tanjung Aru

PENIAGA gerai makan, Said Nonon. – Foto Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Bekas peniaga gerai makan di Anjung Perdana, Tanjung Aru yang sudah dirobohkan awal tahun lalu, lega apabila kerajaan negeri membenarkan mereka kembali ke lokasi sama, sekali gus meningkatkan pendapatan peniaga yang terjejas.

Ada kira-kira 70 peniaga terpaksa berpindah susulan tapak Anjung Perdana yang menjadi lokasi tumpuan pelancong itu dirobohkan bagi pelaksanaan projek Pembangunan Eco Tanjung Aru (TAED), dengan sebahagian peniaga kini berniaga di Anjung Perdana, Likas.

Peniaga gerai makan, Said Nonon, 59, bersama beberapa peniaga lain di Anjung Perdana, Likas mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Aru, Datuk Junz Wong, Rabu lalu.

Said berkata, Wong menyatakan persetujuan untuk membantu semua peniaga lama di Anjung Perdana, Tanjung Aru dan sudah berbincang dengan Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Nordin Siman, berhubung perkara itu.

“Selepas kunjungan ke pejabatnya, beliau (Wong) menghubungi Datuk Bandar untuk perbincangan dan bersetuju membenarkan kami berniaga semula di Tanjung Aru buat sementara waktu sehingga keputusan akhir berkaitan projek TAED dimuktamadkan.

“Hujung minggu lalu juga, beliau melakukan lawatan ke tapak Anjung Perdana lama bagi melihat sendiri keadaan di lokasi terbabit.

“Walaupun kita tidak tahu bila keputusan berkenaan akan diperoleh, namun kebenaran ini cukup melegakan kami,” katanya kepada BH, hari ini.

Said berkata, tarikh pemindahan semula itu belum diputuskan kerana DBKK perlu menyelesaikan beberapa isu teknikal, namun peniaga berharap ia dilaksanakan secepat mungkin.

“Kita turut dimaklumkan DBKK belum menentukan sama ada membaiki semula bangunan sedia ada atau menyediakan struktur sementara untuk penjaja.

“Kami mengalami kerugian teruk sepanjang hampir 10 bulan berniaga di tapak sekarang. Keuntungan tidak sampai 50 peratus jika dibandingkan dengan pendapatan di Tanjung Aru,” katanya yang hampir 20 tahun berniaga makanan.

Sebelum ini, kira-kira 70 penjaja diusir dari Anjung Perdana di Tanjung Aru bagi memberi laluan kepada projek TAED yang dilaksanakan kerajaan terdahulu sebelum status mengenai TAED dikaji semula oleh kerajaan baharu. – Berita Harian

554