Growball Cinema Centre Point diarah tutup sementara

TIKUS “GANGGU” PENONTON WAYANG

Kota Kinabalu : Pejabat Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu mengarahkan sebuah pawagam di kompleks beli-belah di Kota Kinabalu ditutup sementara berikutan penemuan tikus di dewan tayangan di pawagam berkenaan.

Pegawai Pejabat Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu, Julaidah Sharip berkata, pihaknya menerima aduan berkenaan kehadiran tikus di panggung wayang terbabit susulan tular di laman sosial.

“Dalam aduan itu, pengadu meminta pihak kesihatan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengambil tindakan sewajarnya.

“Seorang pegawai Jabatan Kesihatan Persekitaran DBKK menghubungi pihak kami untuk pemeriksaan bersama di panggung wayang berkenaan,” katanya ketika dihubungi, NSTP, hari ini.

Julaidah berkata, hasil pemeriksaan mendapati tujuh daripada lapan dewan tayangan di pawagam itu terdapat tikus.

“Sehubungan itu, Pejabat Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu mengeluarkan arahan penutupan mengikut Seksyen 18(1)(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 selama 14 hari terhadap tujuh dewan tayangan yang dinyatakan.

“Arahan penutupan itu bermula 19 Januari sehingga 2 Februari bagi membolehkan kerja pembersihan dan pembasmian tikus dijalankan dengan sempurna,” katanya. – Harian Metro