Warga emas pandu kereta rempuh pengunjung gerai di Tamu Batu 5

Foto : Facebook BES TAWAUfm

TAWAU, 20 Jan РSeorang lelaki cedera parah manakala anak lelakinya berusia tiga tahun masih belum sedar di hospital, selepas dilanggar sebuah kereta dipandu seorang lelaki yang tidak sengaja tertekan pedal minyak ketika mahu memperlahan kereta di tapak gerai Batu 5, Kinabutan Jalan Apas di sini, semalam.

Dalam kejadian 4.00 petang itu, Ketua Polis Daerah Tawau ACP Fadil Marsus berkata mangsa Abdul Rahman Paddu, 48, dan anaknya Ahmad sedang membeli barang di sebuah gerai sebelum dirempuh kereta Hyundai Gets dipandu lelaki berusia 67 tahun.

“Ketika kejadian pemandu warga emas itu turut merempuh dua gerai di pasar tamu selain melanggar belakang sebuah kereta pacuan empat roda D’Max dan akibatnya D’max berkenaan yang diparkir turut  terdorong ke depan dan melanggar sebuah lori,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Fadil, siasatan awal polis mendapati suspek yang bekerja sebagai pemandu van jenazah dalam perjalanan dari masjid di Jalan Kinabutan menuju ke rumahnya di Batu 5, Jln Apas.

“Semasa melalui pasar tamu yang terletak di kawasan kedai-kedai di Batu 5, suspek terpijak pedal minyak ketika mahu memperlahankan kenderaannya semasa melalui lorong sempit dengan di kiri dan kanan lorong terletak gerai,” katanya.

Fadil berkata akibat kecuaian itu suspek disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

— BERNAMA

Foto : Facebook BES TAWAUfm
Foto : Facebook BES TAWAUfm
Foto : Facebook BES TAWAUfm
Foto : Facebook BES TAWAUfm
394