PKK diiktiraf MBR anjur kursus peserta paling ramai

KOTA KINABALU, 19 Jan – Politeknik Kota Kinabalu (PKK) yang menganjurkan Kursus Asas Kejuruteraan Dandang (Boiler) mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBR), hari ini.

Pengiktirafan itu sebagai penyertaan paling ramai dengan 1,098 peserta bagi program sehari anjuran bersama Malaysian Steam and Internal Combustion Engine Engineer Association (MSIEA). 

Anugerah tersebut disampaikan oleh wakil MBR, Mohd Nazrul Hafizi Ahmad Fuzi kepada Setiausaha Kehormat MSIEA, Muhammad Salahuddin Abdul Majid,  yang mewakili PKK selepas majlis penutupan kursus berkenaan.

Sementara itu, Pengarah PKK, Zainab Othman berkata sambutan penyertaan kursus berkenaan sangat memberangsangkan dan di luar jangkaan sehingga berjaya mendapat pengiktirafan tersebut.

“Pengiktirafan yang diterima daripada MBR ini sudah pasti adalah hadiah istimewa bagi warga PKK khususnya bersempena dengan sambutan Jubli Emas 50 Tahun Politeknik Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini.

Zainab berkata peserta kursus berkenaan terdiri daripada masyarakat setempat di sekitar Kota Kinabalu, kakitangan dan pelajar PKK, serta pelajar daripada institusi kemahiran di sekitar bandar raya ini.

Katanya, kursus sehari yang dikendalikan oleh Muhammad Salahuddin itu bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran peserta dalam pengendalian dan pengoperasian dandang, selain pengendalian keselamatan dan penyelenggaran peralatan berkaitan.

“Kursus ini juga lebih kepada perkongsian maklumat dan terbuka kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengambil kira latar belakang akademik masing-masing.

“Selain itu, ia juga merupakan platform untuk para peserta yang berminat melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan dandang, ” katanya.

— BERNAMA

250