1,295kg sampah dikumpul di Pulau Bum Bum

Sampah yang dikumpul di Pulau Mabul Pada September 2018

SEMPORNA, 19 Jan – Sebanyak 1,295 kilogram sampah di sekitar Kampung Balimbang di Pulau Bum Bum berjaya dikumpul oleh kumpulan sukarelawan menerusi pelaksanaan program pembersihan pantai di sini, hari ini.

Program selama 90 minit bermula jam 7.30 pagi itu disertai 132 sukarelawan daripada Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia Sabah (YDKMM), Kelab Belia Balimbang, Kelab Belia Tinagayan, Pasukan Bomba dan Penyelamat Semporna, Kolej Politeknik Mara Semporna serta penduduk kampung.

Pengerusi YDKMM Sabah, Sittilin Salleh, berkata program itu dianjur seiring memperkenalkan konsep eduvolunteerism iaitu mengajak sambil memberi kesedaran serta berkongsi ilmu asas berkaitan alam sekitar.

“Program ini akan dijadikan projek sosial yang berterusan di bawah YDKMM dan kita akan perluaskan program ini ke pulau-pulau lain di Sabah,” katanya ketika ditemui Bernama.

Dalam pada itu, seorang penduduk kampung, Siti Rokayah Darhan, 41, berharap akan lebih banyak program kebersihan dilaksanakan selepas ini kerana gotong royong membersihkan sampah dapat mencantikkan landskap Pulau Bum Bum.

“Melalui semangat gotong royong itu juga dapat mendidik anak-anak kecil untuk tidak membuang sampah, saya yakin program seperti ini pasti dapat mewujudkan duta kecil menjaga kebersihan,” katanya yang turut serta seawal 7.30 pagi bersama suami dan anak-anak mengutip sampah.

Siti Rokayah dalam pada itu berkata tahap kebersihan Semporna menampakkan perbezaan dengan lebih bersih berbanding keadaan sebelumnya.

“Penguatkuasaan Ops Payung Bersepadu yang dilaksanakan majlis daerah bersama polis dan agensi kerajaan lain berkesan mendidik sivik masyarakat,” katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *