Mangsa kebakaran harap bantuan rumah di tapak asal

Keadaan terkini di lokasi kebakaran yang memusnahkan 55 rumah di Kampung Pasir Putih, Putatan.

PUTATAN: Penduduk yang kehilangan tempat tinggal akibat kebakaran besar di Kampung Pasir Putih, dekat sini, minggu lalu, mahu terus menetap di kampung berkenaan selain memohon kerajaan negeri mempercepatkan bantuan bagi pembinaan semula kediaman mereka di tapak asal.

Ketua Kampung Pasir Putih, Masdur Ali Akhbar, 53, berkata pihaknya sudah memaklumkan hasrat penduduk di kawasan itu kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Shafie Apdal ketika meninjau lokasi kebakaran serta penduduk terjejas, baru-baru ini.

Katanya, Ketua Menteri sedia maklum mengenai harapan penduduk supaya tidak berpindah ke tempat lain dan hanya mahu membina semula rumah di tapak asal.

“Beliau memang sudah berjanji akan memberikan bantuan rumah kepada kami, tetapi tidak pasti sama ada pembinaan semula di lokasi sama atau berpindah ke tempat baharu. Ia akan diputuskan dalam mesyuarat dengan semua pihak berkaitan sebelum memberikan kata putus.

“Namun besar harapan kami masih boleh tetap tinggal di sini sebab sudah biasa dengan suasana di kampung ini, selain lokasi terletak berhampiran bandar raya dan kemudahan lain seperti sekolah, dewan serbaguna, balai polis dan masjid,” katanya ketika ditemui di pusat penempatan sementara mangsa kebakaran di kampung itu, hari ini.

Seramai 329 penduduk daripada 76 keluarga hilang tempat tinggal selepas 55 rumah musnah dalam kebakaran pada jam 12.50 tengah hari, Jumaat lalu.

Semua penduduk terbabit kini ditempatkan di Dewan Serbaguna Putatan untuk sementara.

Seorang lagi penduduk terjejas, Amit Udin, 51, berharap pembinaan semula rumah dilaksanakan secepat mungkin sekiranya kerajaan negeri membenarkan tapak sama digunakan kembali kelak.

Katanya, selaku ketua keluarga beliau mahu memberi keselesaan kepada isteri dan empat anak terutama semua anak masih bersekolah. – Berita Harian

388