SPRM tahan lima suspek kemuka penyata bank palsu dapatkan tender RM8.8 juta

KELIMA-lima suspek dibawa ke Mahkamah Tawau untuk mendapatkan perintah tahanan reman. 

TAWAU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman lima suspek yang disyaki mengemukakan penyata bank palsu untuk mendapatkan tender keseluruhan bernilai kira-kira RM8.8 juta. 

Kesemua suspek terbabit terdiri daripada pemilik dan pengurus syarikat perbekalan makanan bermasak sekolah menengah asrama di sekitar daerah ini, ditahan reman sehingga 21 Januari. 

Tempoh tujuh hari tahanan reman itu diputuskan Majistret Herlina Muse di Mahkamah Tawau di sini pada Selasa, terhadap kesemua suspek; tiga wanita dan dua lelaki, berumur 35 – 65 tahun. 

Kesemua mereka hadir di mahkamah dengan keadaan tangan bergari sambil diiringi oleh pegawai-pegawai SPRM yang diketuai Pegawai Penyiasat SPRM Tawau Johari Lahat. 

Utusan Borneo difahamkan, kelima-lima suspek berkenaan disiasat dalam empat kes berasingan membabitkan empat syarikat terlibat untuk kontrak dua tahun antara 2017 sehingga 2018. 

Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu, dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun. 

KES melibatkan kelima-lima suspek terbabit mendapat liputan meluas pengamal media cetak, elektronik dan atas talian di Tawau.
KES melibatkan kelima-lima suspek terbabit mendapat liputan meluas pengamal media cetak, elektronik dan atas talian di Tawau.

Mereka yang disabit bersalah juga boleh didenda lima kali ganda nilai barang-barang yang sudah dimasukkan ke dalam tuntutan dakwaan palsu atau RM10, 000, mengikut angka lebih tinggi. 

Terdahulu, kesemua suspek terbabit ditahan di lokasi-lokasi berasingan di sekitar daerah ini, termasuk di Pejabat SPRM Tawau antara jam 1.20 petang sehingga 9 malam pada Isnin.  – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *