Tiada apa lagi yang tinggal…

Rumah didiami tujuh sekeluarga hangus terbakar.

KOTA MARUDU : Tujuhh sekeluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumah dan empat kenderaan mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Marudu Darat, Kota Marudu.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian 8.20 malam semalam itu.

Mangsa, Ristinah Randam, 56, berkata, dia baru tiba di rumahnya dari pekan Kota Marudu selepas membeli barang keperluan.

“Saya sendirian kerana (ahli keluarga) yang lain keluar. Tiba-tiba saja, nampak api marak dari celah tingkap di tingkat bawah rumah, berhampiran suis utama.

“Dalam kelam-kabut itu, saya hanya sempat menyelamatkan dokumen penting yang disimpan di rak khas dalam rumah,” katanya, hari ini.

Menurutnya, dia kemudian keluar untuk menyelamatkan diri dan tidak sempat mengalihkan kenderaannya.

Susulan kejadian, keluarganya kini menumpang di rumah saudara di pekan Kota Marudu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Marudu, Rony Sikawan berkata, tujuh anggota dengan sebuah jentera dikerah ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada 8.30 malam.

Katanya, rumah bertingkat jenis separuh kekal itu terbakar 100 peratus, manakala dua Perodua Kembara dan masing-masing sebuah Proton Persona dan Toyota Vios turut musnah.

“Struktur kayu pada rumah itu menyebabkan api merebak dengan cepat. Operasi ditamatkan pada 10.44 malam, manakala punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya. -Harian Metro

354