Suspek Penagih Dadah ‘Kantoi’ Oleh anak

KOTA KINABALU: Helah seorang isteri untuk memperdaya penguatkuasa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kota Kinabalu daripada menahan suaminya yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah gagal apabila anak mereka memecahkan rahsia.

Salah seorang suspek penagih dadah yang ditahan dalam Op Cegah sekitar Kota Kinabalu dan Penampang. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Sebelum itu, penguatkuasa AADK terpaksa mengambil masa yang lama untuk mengetuk pintu rumah dua tingkat yang terletak di Kampung Gusung, Likas itu sebelum dibuka oleh seorang wanita yang dipercayai isteri suspek.

Bagaimanapun, isteri suspek warga tempatan berumur 43 tahun itu memaklumkan suaminya tidak berada di rumah sejak petang kelmarin.

Suspek penagih dadah yang bertindak bersembunyi bagi mengelak dari ditahan dalam Op Cegah di Kampung Gusung, Likas. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Ketua Operasi AADK Sabah Erwan Roslan berkata pemeriksaan lanjut dalam bilik tidur juga tidak menemukan suspek. Dalam masa yang sama, seorang penguatkuasa terlihat sebuah beg sandang yang dipercayai milik suspek.

“Penguatkuasa menyoal isteri suspek beg itu kepunyaan siapa, tetapi isterinya mendiamkan diri.

“Dalam masa sama, anak suspek menjawab beg tersebut kepunyaan ayahnya dan memaklumkan suspek berada ditingkat atas,” katanya ketika ditemui selepas operasi dijalankan.

Seramai 10 suspek penagih dadah termasuk seorang wanita warga asing ditahan dalam Op Cegah sekitar Kota Kinabalu dan Penampang. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Menurut Erwan, penguatkuasa AADK kemudian naik ke tingkat atas rumah suspek dan menjalankan pemeriksaan teliti disetiap bilik.

“Suspek kemudian berjaya dicekup setelah bersembunyi di sebuah bilik tidur dalam keadaan berselimut.” tambahnya.

Kesemua suspek yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat AADK Kota Kinabalu untuk ujian saringan awal air kencing.

“Hasil ujian mengesahkan kesemua mereka didapati positif dadah jenis syabu dan akan disiasat dibawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983,” katanya.

Sementara itu, Erwan berkata wanita warga asing yang ditahan dalam operasi ini juga akan diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut.

Operasi yang dijalankan bermula pukul 9 malam dan berakhir lima jam kemudian ini dibuat berdasarkan maklumat dan risikan serta aduan orang awam.

“Menerusi operasi-operasi yang dijalankan secara berterusan oleh pihak AADK ini diharapkan tahap kesedaran masyarakat kita akan semakin meningkat tentang bahaya dan kesan negatif berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah.

“Di samping itu juga, program-program pencegahan dadah tetap akan dilaksanakan secara berterusan bagi mewujudkan tahap kesedaran yang tinggi dalam diri masyarakat.

“Anggota masyarakat atau komuniti merupakan entiti yang sangat penting sebagai mata dan telinga kerajaan dalam menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah khasnya dalam kawasan atau komuniti masing-masing,” jelasnya.

Erwan turut menasihatkan kepada masyarakat setempat agar dapat menyalurkan maklumat sebarang aktiviti penyalahgunaan dadah kepada pihak berkuasa daripada terus berleluasa. -SabahNewsToday

384