Larangan merokok: Sabah buat keputusan esok

MENTERI Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Stephen Wong

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah dijangka memutuskan sama ada akan melaksanakan larangan merokok di restoran dalam mesyuarat Kabinet negeri esok.

Perkara itu disahkan Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Stephen Wong, sambil memaklumkan beliau sudah mengarahkan Jabatan Kesihatan negeri menangguhkan penguatkuasaan larangan merokok di premis makanan sehingga Kabinet negeri membuat keputusan.

Beliau berkata, kementeriannya mengadakan pertemuan dengan Jabatan Kesihatan semalam berhubung perkara berkenaan bagi mengelak kekeliruan.

“Notis itu (penangguhan penguatkuasaan larangan merokok di premis makanan) dikeluarkan untuk mengelak kekeliruan dan menunggu keputusan (mesyuarat) Kabinet (negeri) esok,” katanya ketika dihubungi NSTP hari ini.

Mengulas lanjut, Wong berkata, walaupun pekeliling penangguhan penguatkuasaan larangan merokok di premis makanan hanya dikeluarkan semalam, tidak bermakna kerajaan negeri enggan mematuhi peraturan Kementerian Kesihatan yang dikuatkuasa mulai 1 Januari lalu.

Ditanya mengenai kemungkinan keputusan mesyuarat esok, Wong berkata: “Saya fikir kerajaan negeri mungkin akan melaksanakannya, kita lihat nanti.”

Sebelum ini, Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Jaujan Sambakong, berkata larangan itu perlu diteliti untuk diselaraskan dengan undang-undang negeri.

Seorang lagi Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew pula dilaporkan berkata perkara itu perlu dibawa dalam mesyuarat Kabinet terlebih dulu kerana banyak aspek perlu diambil kira, antaranya kesan kepada industri pelancongan. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *