Jumlah korban bencana di Filipina meningkat

Penduduk melihat jalan raya yang musnah akibat banjir di bandar Bulan di wilayah Sorsogon, Filipina kelmarin. – EPA

Manila: Jumlah kematian akibat tanah runtuh dan banjir di tengah Filipina yang dicetuskan tekanan rendah tropika meningkat kepada 85 orang dan 20 lagi masih hilang, kata pegawai semalam yang memberitahu pasukan penyelamat sukar tiba ke penempatan yang terputus hubungan.

Pengarah eksekutif agensi bencana kebangsaan, Ricardo Jalad berkata, kebanyakan mangsa termasuk kanak-kanak terbunuh apabila rumah mereka ditimbus tanah runtuh yang berpunca daripada hujan lebat selama beberapa hari di beberapa wilayah di tengah Filipina.

“Jika kami tidak menemui mangsa yang hilang atau mereka ditemui sudah mati, jumlah kematian menjadi 105. Kami harap ia tidak berlaku,” katanya.

Keadaan cuaca dikenali sebagai tekanan rendah tropika yang bergerak keluar dari Filipina pada Ahad lalu membawa hujan lebat yang mencetuskan tanah runtuh dan banjir besar di Bicol serta timur rantau Visayas.

Kerajaan meletakkan tiga wilayah sebagai kawasan bencana bagi membolehkan bantuan kecemasan disalurkan.

Bicol dengan populasi 5.8 juta penduduk adalah yang paling teruk terjejas dengan 68 terbunuh akibat banjir dan tanah runtuh.

Pasukan penyelamat termasuk polis dan tentera menggunakan jentera berat untuk mengalihkan halangan di jalan raya serta masuk ke kawasan banjir menggunakan bot getah.

“Matahari sudah muncul dan hujan pun semakin reda. Kami harap banjir akan surut,” kata anggota penyelamat di Bicol, Ronna Monzon. – Reuters

138