Demi insan tercinta

KUALA LUMPUR: Setiap hari ke kawasan bencana dengan harapan dapat menemui jasad ahli keluarga yang hilang dalam kejadian gempa bumi, tsunami dan pergerakan tanah yang melanda Sulawesi Tengah, Indonesia, September lalu.

Ashraff ketika berada di Desa Teluk, Pandeglang yang musnag dibadai tsunami Disember lalu.

Itu ikhtiar dilakukan segelintir penduduk yang masih hidup di kawasan terjejas paling teruk di Petobo dan Balaroa di Palu serta Sibalaya dan Jono Oge di Sigi meskipun sudah tiga bulan malapetaka itu berlaku.

Keadaan itu mengundang sayu kepada Ketua Pasukan Tindakan dan Bantuan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMARET) Sulawesi, Ashraff Rahman yang ketika ini masih berada di daerah itu bagi menyalurkan bantuan.

“Paling kasihan kawasan penempatan yang hilang ditelan bumi di Sibalaya, Jono Oge, Petobo dan Balaroa.

“Saya difahamkan masih ramai yang hilang. Ada juga yang masih pergi ke kawasan bencana setiap hari dengan harapan dapat bertemu dengan ahli keluarga mereka yang masih belum ditemui,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, hampir tiga bulan IMARET berkampung di Sulawesi Tengah terutama daerah Sigi yang kurang menerima bantuan.

“Sejak minggu pertama bencana berlaku, pasukan kami tiba menyalurkan bantuan perubatan.

“Selepas minggu kedua, kami mula menggerakkan klinik bergerak ke 14 wilayah berbeza dengan anggaran 60 hingga 90 pesakit dirawat setiap hari.

“Selain memberi bantuan perubatan bagi penyakit akibat bencana dan sakit biasa, kami juga menganjurkan sesi pemulihan trauma kepada murid sekolah kerana mereka masih trauma,” katanya.

Ashraff berkata, IMARET kini fokus menyediakan sistem air terawat bagi membekalkan air bersih di empat kawasan di Sigi dengan anggaran RM85,000 seunit.

“Rata-rata mangsa bergantung kepada satu-satunya sumber daripada air gunung mengalir ke longkang di depan rumah mereka.

“Di situlah tempat mereka membasuh, mandi, buang air dan ambil air itu untuk memasak dan minum.

“Jadi IMARET dalam perancangan memasang empat unit sistem air terawat di beberapa lokasi,” katanya.

Ashraff berkata, mangsa tsunami di Sumur, Pandeglang di Banten juga tidak dilupakan apabila mereka bakal mengagihkan kit kebersihan dan ubat kepada 3,000 mangsa.

“Saya sempat singgah di sana pada 26 hingga 31 Disember lalu dan kami merancang untuk menyantuni mangsa di Sumur yang terputus hubungan selepas tsunami,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun CIMB 8600703709 atas nama Persatuan Perubatan Islam Malaysia. – HarianMetro

185