Tragedi tahun baharu

BANGKOK: Kedatangan Tahun Baharu 2019 disambut meriah di seluruh dunia semalam tetapi di beberapa negara perayaan itu dicemari dengan beberapa tragedi termasuk kejadian pembunuhan dan bencana.

Anggota penyelamat berusaha mencari mangsa yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Cimapag di Sukabumi, Indonesia. – EPA

Di Thailand, seorang lelaki menembak mati enam anggota keluarganya termasuk dua anaknya sebelum menembak dirinya kerana berang selepas tidak dijemput ke parti sambutan Tahun Baharu yang dianjurkan keluarga mentuanya.

Menurut AFP, kejadian itu berlaku 10 minit selepas tengah malam semalam ketika Sucheep Sornsung menyertai keluarga isterinya menyambut Tahun Baru di wilayah Chumphon.

Sucheep yang mabuk melepaskan tembakan di meja sebuah salun kecantikan yang menjadi lokasi sambutan itu di daerah Phato, kata polis.

“Semua mangsa anggota keluarganya termasuk anak lelaki dan anak perempuannya yang berusia sembilan dan enam tahun.

Seorang lelaki menembak mati enam anggota keluarganya termasuk dua anaknya sebelum menembak dirinya

“Mereka ditembak di kepala dan di perut. Sucheep marah kerana sebagai menantu dia tidak disambut keluarga isterinya,” kata jurucakap polis Phato, Larp Kampapan.

Sucheep kemudian menembak dirinya. Empat lagi mangsa ialah dua lelaki dan dua wanita berusia antara 47 dan 71 tahun.

Di Indonesia, ketika jutaan penduduk meraikan kedatangan sambutan Tahun Baharu, pasukan penyelamat bertungkus-lumus mencari puluhan mangsa yang hilang dalam kejadian tanah runtuh yang menyebabkan sembilan orang maut.

Kejadian berlaku sejurus sebelum gelap kelmarin di sebuah Kampung Cimapag di Sukabumi di wilayah Jawa Barat yang berpunca daripada hujan lebat.

Jurucakap agensi bencana kebangsaan, Sutopo Purwo Nugroho memberitahu, sembilan mangsa ditemui mati dan sekurang-kurangnya 34 lagi penduduk di laporkan hilang selepas kediaman mereka ditimbuni tanah runtuh sedalam beberapa meter.

Hujan lebat, gangguan bekalan elektrik dan keadaan jalan raya rosak atau terhalang menyebabkan jentera berat tidak dapat masuk ke kawasan berkenaan.

“Selain itu, orang ramai yang berpusu-pusu mahu ke tempat kejadian menyebabkan kenderaan pasukan penyelamat termasuk ambulans tersangkut dalam kesesakan lalu lintas berikutan jalan sempit,” katanya.

Sambutan tahun baharu di Tokyo, Jepun juga bertukar kecoh apabila sebuah kereta merempuh orang awam yang berkumpul di sepanjang jalan terkenal di bandar itu menyebabkan sembilan cedera dan seorang parah, kata polis.

Jurucakap polis berkata, Kazuhiro Kusakabe, 21, memandu sebuah kenderaan kecil dengan ‘niat membunuh’ di Jalan Takeshita, di kawasan fesyen terkenal Harajuku, 10 minit selepas waktu tengah malam.

Jalan itu ditutup untuk kenderaan bagi membolehkan orang ramai memenuhi kawasan berkenaan untuk meraikan sambutan Tahun Baru.

Menurut polis, seorang pelajar kolej berada dalam keadaan kritikal dan terpaksa menjalani pembedahan.

Kusakabe ditahan dan berdepan tuduhan cubaan membunuh.

Beberapa jam sebelum sambutan tahun baharu di Manchester, Britain, seorang lelaki yang bersenjatakan pisau secara tiba-tiba menyerang orang ramai menyebabkan tiga mangsa cedera.

Dalam kejadian di stesen kereta api Manchester Victoria itu menyebabkan seorang lelaki dan wanita berusia 50-an cedera serta seorang anggota polis yang bertugas di stesen berkenaan.

Mail Online melaporkan, suspek bersenjatakan pisau dapur yang panjang ditahan selepas polis menyembur penyembur lada dan menembaknya dengan pistol pegun.

Polis kemudiannya mengesahkan kejadian itu dan memberitahu suspek ditangkap atas tuduhan cubaan membunuh. – Agensi

481