Bayi maut, jari berlebihan dipotong ibu

Bayi yang dilahirkan dengan jari kaki dan tangan berlebihan di India dilaporkan meninggal dunia selepas ibunya memotong lebihan anggota badan berkenaan kerana percaya ia membawa nasib malang.

Gambar Hiasan

The Times Of India melaporkan, bayi malang berkenaan dilahirkan dengan enam jari tangan dan enam jari kaki di kedua-dua belah anggota badan berkenaan di kampung Sundardev di daerah Khandwa, 22 Disember lalu.

Berita mengenai kelahiran bayi perempuan berkenaan segera tersebar dalam kalangan penduduk kampung yang majoritinya dari puak Tarabai.

Beberapa penduduk dan ahli keluarga wanita itu kemudian memberi amaran bahawa bayi perempuan itu membawa malang kerana mempunyai lebihan jari tangan dan kaki.

Keluarga bayi itu juga bimbang tiada siapa yang mahu mengahwini anak mereka apabila dia dewasa kelak kerana kecacatan itu.

Ibu bayi berkenaan yang bimbang dengan dakwaan berkenaan kemudian memotong lebihan jari itu dengan sabit dan membalut lukanya dengan najis lembu.

Bagaimanapun, bayi berkenaan meninggal dunia tidak lama selepas itu iaitu pada hari yang sama dia dilahirkan dan dikebumikan di kampung berkenaan.

Sementara itu, polis di Khandwa yang menerima laporan mengenai kematian bayi itu menggali semula kanak-kanak berkenaan semalam.

Jurucakap polis memberitahu, mayat bayi berkenaan dibawa ke hospital untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematiannya. – Agensi

212