Terbaiklah orang Sabah…

SANDAKAN : Sebanyak 552 kilogram (kg) sampah dikutip sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Trash Hero Sandakan di sekitar bandar Sandakan hanya dalam tempoh kira-kira dua jam, petang semalam.

Antara peserta Sukarelawan Trash Hero Sandakan memungut sampah sempena program ‘Street Musical Clean Up’ di sekitar bandar Sandakan.

Dilaksanakan sempena program ‘Street Musical Clean Up’ bermula 2 petang itu, seramai 128 peserta menyertai aktiviti mengutip sampah secara sukarela.

Aktiviti itu mencuri tumpuan kerana digabungkan dengan persembahan lagu dan puisi berkaitan dengan penjagaan alam sekitar dalam memberi kesedaran kepada masyarakat.

Pengasas Trash Hero Sandakan, Norfazilah Rahman berkata, mereka bergabung dengan Persatuan Pendidik Industri Kreatif Sandakan dan idea itu tercetus ketika dia mendengar lagu sambil mengutip sampah sebelum ini.

“Saya rasa lebih bersemangat ketika itu dan kemudian membawa idea berkenaan dalam program ini buat julung kali.

“Alhamdulillah, ia mendapat sambutan memberangsangkan. Pada mulanya saya sangka tidak ada orang datang menyertai kami, namun berdasarkan maklumat pendaftaran peserta ada 128 yang turut serta,” katanya kepada NSTP.

Antara peserta Sukarelawan Trash Hero Sandakan memungut sampah sempena program ‘Street Musical Clean Up’ di sekitar bandar Sandakan.

Norfazilah berkata, sebanyak 552 kg sampah dikutip di akhir program terbabit dan beliau berterima kasih kepada semua yang terbabit.

Sementara itu, program berkenaan turut menarik penyertaan pelancong dari Belgium, Brecht Laloep, 36, yang sukarela mengutip sampah.

Laloep yang baru tiba dari Sarawak kelmarin berkata, ketika bersiar-siar sekitar bandar, dia terlihat aktiviti terbabit dan tertarik lalu menyertainya.

“Aktiviti seperti ini sangat menarik dan ia harus dipromosikan kepada pelancong asing dan saya berharap dapat menyertai program seperti ini lagi,” katanya. – Harian Metro

327