Dua pertiga Anak Krakatau ‘hilang’

Anak Krakatau memuntahkan asap tebal di Wilayah Lampung berhampiran Selat Sunda. – Foto TribunNews

PANDEGLANG: Gunung berapi pencetus tsunami di Indonesia yang mengorbankan lebih 400 orang, minggu lalu, hilang dua per tiga ketinggiannya, susulan letusan yang menyebabkan ombak pembunuh.

Sebahagian kawah Anak Krakatau runtuh, selepas letusan dan jatuh ke dalam laut sehingga menjana gelombang tsunami, malam Sabtu minggu lalu.

Analisis visual oleh agensi gunung berapi Indonesia mendapati gunung berapi itu hilang lebih dua per tiga ketinggiannya, menurut seorang pegawai, semalam.

Sebelum ini, ketinggian Anak Krakatau adalah 338 meter, namun kini tingginya susut kepada hanya 110 meter sahaja. Agensi itu menjangkakan gunung berapi itu kehilangan antara 150 hingga 180 juta meter padu.

“Anak Krakatau kini lebih pendek, biasanya kamu boleh nampak puncaknya dari pos pemerhati, kini tidak lagi,” kata pegawai kanan agensi itu, Wawan Irawan. – AFP

129