Bomba cedera padam kebakaran

KOTA MARUDU : Anggota bomba cedera terkena renjatan elektrik ketika menjalankan operasi memadam kebakaran rumah di Jalan Hospital Kota Marudu di Kampung Lotong, Kota Marudu, malam tadi.

Sebuah rumah musnah dalam satu kebakaran di Kampung Lotong, Kota Marudu. Foto Ihsam Bomba

Dalam kejadian 8.15 malam itu, Latif Muhamad Sabindo Latapa, 27, dihantar ke Hospital Kota Marudu untuk rawatan lanjut dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Marudu, Rony Sikawan berkata, pihaknya menerima panggilan pada 8.25 malam membabitkan kebakaran sebuah rumah dan menghantar tujuh anggota bersama jentera, lori tangki dan kenderaan utiliti.

Katanya, sebaik tiba, rumah jenis separuh kekal terbakar 100 peratus sebelum operasi memadam api segera dilakukan.

“Api berjaya dipadamkan pada 10.57 malam dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan, manakala jumlah kerugian serta punca kejadian masih dalam siasatan.

ANGGOTA bomba, Latif Muhamad Sabindo Latapa dilaporkan dalam keadaan stabil selepas mengalami renjatan elektrik semasa memadam kebakaran rumah di Kampung Lotong, Kota Marudu. FOTO Ihsan Bomba

“Seorang anggota bomba bagaimanapun kebas badan selepas terkena renjatan elektrik ketika memadam kebakaran, namun tidak mengalami kecederaan serius,” katanya ketika dihubungi NSTP.

Saksi kejadian, Edwin Gunding, 26, berkata, ketika kejadian dia berada di rumahnya kira-kira 500 meter dari lokasi kebakaran.

“Pada awalnya, api hanya kecil dari jauh dan saya sangka penduduk bermain mercun kerana terdengar bunyi letupan sebelum kelihatan asap tebal dan api semakin besar,” katanya. – Harian Metro

313