4,800 PATI Ditangkap Di Sabah Sejak Januari Lalu – KP Imigresen

KOTA KINABALU: Seramai 4,800 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan oleh Jabatan Imigresen di Sabah menerusi 1,371 operasi yang dijalankan sejak 1 Januari lalu hingga semalam.

Mustafar (tengah) bersama pegawainya memotong kek sempena ulang tahunnya di Kota Kinabalu, hari ini. Gambar SNT/Zakaria Damit

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali berkata sepanjang tempoh tersebut, pihaknya memeriksa seramai 27,000 warga asing serta menahan 62 orang majikan yang dikenal pasti menggaji serta melindungi PATI.

“Dalam pada itu seramai 12,400 PATI di negeri ini telah berjaya diusir dan di hantar pulang ke negara asal mereka masing-masing,” katanya.

Mustafar (tengah) bergambar kenangan bersama anggota dan pegawainya sempena ulang tahun kelahirannya, di Kota Kinabalu, hari ini. Gambar SNT/Zakaria Damit

Katanya tangkapan PATI yang paling ramai dan telahpun diusir adalah melibatkan warga Filipina iaitu seramai 9,800 manakala Indonesia 2,355 orang.

“Sebelum ini juga, pihak Imigresen sudah berbincang dengan konsulat serta kedutaan negara masing-masing agar proses pengusiran dan penghantaran pulang mereka dapat disegerakan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas program perhimpunan bulanan bersama anggota dan pegawai Imigresen Sabah, di sini, hari ini.

Mustafar berkata di seluruh negara pihaknya menahan 1,400 majikan yang melindungi PATI sekaligus telah diambil tindakan mahkamah termasuk dikenakan hukuman penjara, denda serta sebatan.

“Cuma hukuman sebatan ini masih lagi kurang, kita menekankan supaya hukuman sebatan diberikan kepada majikan yang masih berdegil untuk memastikan adanya unsur-unsur pengajaran kepada elemen-elemen tersebut,” katanya.

Sebagai agensi penguatkuasa yang telah diamanahkan, pihaknya sentiasa mengambil maklum aduan masyarakat berhubung kehadiran PATI dengan mengambil tindakan yang sewajarnya.

“Kita beri amaran dan peringatan kepada majikan serta dalang yang membawa pekerja asing ini bahawa tindakan tegas akan terus dilakukan terhadap mereka tanpa sebarang kompromi,” katanya.-SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *