‘Sampai ketemu lagi ya sayang’ – Ifan Seventeen

Isteri vokalis kumpulan muzik Indonesia, Seventeen, Riefian Fajarsyah atau Ifan, selamat dikebumikan di Ponorogo, Jawa Timur, Indonesia, hari ini.

Ifan bersama ibu mentuanya ketika pengebumian Dylan Sahara.

Dylan Sahara Puteri antara mangsa korban tsunami di Selat Sunda, Indonesia, Sabtu lalu.

Menurut laporan Detik.com, Ifan kelihatan sugul ketika pengebumian arwah Dylan selain dilihat enggan meninggalkan kubur isterinya itu usai pengebumian.

“Sudah pulang ya sayang, sampai ketemu lagi,” kata Ifan sambil menyiram air mawar di kubur isterinya.

Menerusi laporan portal berita Indonesia itu lagi, Ifan memohon maaf bagi pihak isterinya dan meminta masyarakat mendoakan agar kematian isterinya husnul khotimah.

Selain Dylan, tiga lagi ahli kumpulan Seventeen serta pengurus band itu, Oki Wijaya, termasuk pemain bass; Bani, pemain dram; Andi dan pemain gitar; Herman turut maut dalam tragedi yang membadai persisiran pantai Banten dan Lampung.

“Bukan hanya untuk isteri dan rakan-rakan Seventeen saja, saya juga mohon doa untuk semua mangsa tsunami agar amalan mereka diterima di sisi Allah SWT dan semoga husnul khotimah,” kata Ifan.

Terdahulu, band itu dilaporkan memenuhi jemputan dalam majlis tertutup di Tanjung Lesung Beach Resort, di Pandeglang, Banten.

Satu video memaparkan detik terakhir kumpulan itu sedang mengadakan persembahan sebelum ombak tsunami datang ‘menyapu’ pentas dan penonton, tular di laman sosial.

Dalam video itu, Ifan sedang menyampaikan sebuah lagu sebelum ombak tsunami datang dari bahagian belakang pentas.

Ifan satu-satunya ahli kumpulan Seventeen yang terselamat dalam kejadian itu. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *