Elak keluar kenyataan panas, provokatif hingga konflik kaum

TAWAU, 26 Dis – Rakyat dinasihat tidak mengeluarkan kenyataan panas dan provokatif yang boleh menyebabkan konflik serta ketegangan kaum di negeri ini, kata Anggota Dewan Undangan Negeri Balung, Datuk Osman Jamal.

Katanya, ketegangan serius berupaya menjejaskan kestabilan negara termasuk aspek ekonomi.

“Sebab itu elemen perpaduan dalam negeri ini perlu dipertingkatkan demi keharmonian dan kestabilan ekonomi yang berterusan,” katanya ketika berucap pada majlis penangguhan Tilawah Al-Qur’an peringkat zon Balung di Bandar Sri Indah di sini, Selasa malam.

Katanya persengketaan antara kaum khususnya melibatkan polemik agama hanya akan membawa situasi kucar kacir sehingga membantutkan pembangunan negara.

Dalam pada itu, Osman berkata perpaduan terhasil apabila rakyat pelbagai etnik dan agama saling menghormati antara satu sama lain dan sentiasa berhati-hati dengan sensitiviti agama dan budaya kaum lain.

Pada majlis itu Hamzah Asbi dari Mukim Kinabutan diumum johan qari manakala Masnah Syed Aluwi dari Mukim Andrassy pula johan qariah. Anggota  Parlimen Kalabalan, Ma’mun Sulaiman dan ADUN Tanjong Batu, Datuk Hamisa Samat turut hadir.

– BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *