Cadangan benarkan wanita Muslim sertai Unduk Ngadau tidak sesuai – USIA

KOTA KINABALU, 26 Dis – Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) menyifatkan cadangan Jawatankuasa Penganjur Pertandingan Unduk Ngadau Pesta Kaamatan peringkat negeri untuk membenarkan penyertaan wanita Muslim dalam pertandingan ratu cantik itu sebagai tidak sesuai.

Yang Dipertua USIA Datuk Sairin Karno berkata pertandingan Unduk Ngadau sempena Pesta Kaamatan tetap meriah meskipun tanpa penyertaan daripada wanita Muslim.

“Unduk Ngadau telah sejak sekian lama terkenal dengan konsep dan matlamat  penganjurannya, justeru adalah lebih baik ia dikekalkan begitu dan janganlah pula mencetuskan kontroversi dengan mencadangkan supaya wanita Islam menyertainya.

“Masyarakat Islam pun tahu sebab-sebab kenapa wanita Islam dilarang menyertai pertandingan ratu cantik.

“Sama ada wanita Islam menyertainya atau tidak adalah tidak relevan kerana tujuan sebenarnya hanyalah untuk memilih gadis tercantik sempena perayaan Pesta Kaamatan,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Penganjur Pertandingan Unduk Ngadau Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Joanna Kitingan yang mencadangkan supaya wanita Islam menyertai Unduk Ngadau atas alasan mengamalkan inklusiviti.

Sairin berkata walaupun cadangan supaya wanita Islam menyertai Unduk Ngadau dibuat atas alasan mengamalkan inklusiviti, namun ia tetap tidak sesuai kerana ia boleh mengundang kontroversi dan rasa tidak senang di kalangan masyarakat Islam.

Beliau juga sependapat dengan Pengarah  Yayasan Dakwah Islamian (YADIM) Sabah Samin Ongki yang menolak cadangan Jawatankuasa Penganjur Pertandingan Unduk Ngadau Pesta Kaamatan peringkat Negeri supaya wanita Islam di Sabah dibenarkan menyertai pertandingan ratu cantik pesta berkenaan.

“Hujah beliau itu sangat kukuh kerana ia berpandukan kepada Enakmen Pentadbiran Islam Negeri Sabah serta Fatwa oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Sabah.

“Saya faham niat Joanna, tetapi malangnya cadangan beliau itu menyentuh sensitiviti  masyarakat Islam dan apa yang lebih membimbangkan ialah perkara itu mungkin akan menimbulkan kontroversi dan ini sepatutnya dielakkan sebelum berlaku,” katanya.

– BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *