BANDA ACEH: Pekerja sebuah tapak pembinaan terkejut apabila menemui 45 mayat manusia dipercayai mangsa tsunami dalam sebuah kubur besar di Dusun Lamseunong, Gampong Kajhu, Baitussalam, Aceh Besar, kira-kira 14 tahun selepas bencana berkenaan.
Antara News melaporkan, mayat berkenaan ditemui dalam beg plastik oleh sekumpulan pekerja yang menggali lubang untuk membuat tangki septik di sebuah tapak pembinaan perumahan pada Rabu lalu.
“Pada mulanya kami menyangka cuma ada dua mayat sahaja tetapi selepas dikorek lagi kami menemui 45 beg plastik yang mengandungi mayat,” kata seorang pekerja, Muhammad Yahya Tauhid, 73.
Katanya, lokasi kubur besar itu sebelum ini adalah kawasan pertanian yang diusahakan penduduk kampung sebelum Aceh dilanda gempa bumi dan tsunami dahsyat pada 24 Disember 2004.
Tsunami itu melanda beberapa negara dan mengorbankan lebih 227,000 mangsa dengan Indonesia mencatatkan lebih 100,000 mangsa.
Jurucakap Agensi Pengurusan Bencana di Acheh, Teuku Ahmad Dadek berkata, mayat itu adalah mangsa tsunami Aceh tetapi lokasi itu tidak didaftarkan sebagai kawasan kubur besar bagi mengebumikan mangsa ketika itu.
“Lokasi ini adalah tempat sukarelawan mengebumikan mayat mangsa tsunami tetapi mereka tidak mendaftarkannya sebagai kubur besar,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, identiti semua mayat itu sudah dapat disahkan kerana mereka dikebumikan dengan kad pengenalan diri. Daripada jumlah keseluruhan, 25 jasad adalah mayat lelaki dan selebihnya perempuan.
Beberapa mayat yang dikenal pasti dituntut oleh keluarga masing-masing dan selebihnya dikebumikan mengikut ajaran Islam di tanah perkuburan di kampung itu. – Agensi/Harian Metro