3,000 meriahkan Rumah Terbuka Krismas UPKO

KOTA KINABALU, 25 Dis – Kira-kira 3,000 rakyat pelbagai kaum dan agama di Sabah menghadiri Majlis Rumah Terbuka Krismas 2018 anjuran Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Likas di sini, hari ini.

Majlis rumah terbuka berlangsung dari pukul 10 pagi hingga 1 petang itu dimeriahkan lagi dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah R. M. Jasni.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Wilfred Madius Tangau serta Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah Datuk Dr Yusof Yacob yang mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Hadir sama Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick yang juga Naib Presiden UPKO; menteri Kabinet Sabah lain serta beberapa pemimpin masyarakat.

Pelbagai persembahan menarik diadakan termasuk nyanyian dan koir bagi menghiburkan para tetamu hadir pada majlis rumah terbuka berkenaan.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis itu, Tangau yang juga Presiden UPKO berkata kehadiran pelbagai lapisan masyarakat untuk bersama-sama meraikan Krismas pada hari ini menggambarkan semangat perpaduan tinggi antara kaum di Sabah.

“Amalan (rumah terbuka) seperti ini perlu diteruskan bagi memperkukuh perpaduan dan keharmonian antara kaum di Sabah,” katanya, yang turut berharap pembangunan ekonomi di Sabah akan lebih baik pada tahun depan.

Sementara itu, Yusof berkata, kesatuan serta persefahaman antara kaum di Sabah merupakan satu keunikan dan keistimewaan yang perlu terus dipertahankan khususnya oleh generasi muda.

“Kita akan terus menjaga perpaduan ini kerana kita tidak mahu ada unsur-unsur luar yang mahu memecah belahkan kesatuan rakyat Sabah,” katanya.

– BERNAMA

72