2,000 anak Sabah di Semenanjung serah borang sertai Bersatu

Foto Ihsan Pembaca

SHAH ALAM, 23 Dis – Dua ribu anak Sabah yang menetap di Semenanjung, menyerahkan borang keanggotaan bagi menyertai  Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), hari ini.

Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Abu Bakar Yahya berkata kesemua mereka bertindak menyertai Bersatu sebagai tanda memberi sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Setakat ini 2,000 anak-anak Sabah di sini telah  menyertai kita dan kita yakin penyertaan anak-anak Sabah untuk menyertai Bersatu akan meningkat dari semasa ke semasa selepas ini.

“Ini kerana mereka telah sebulat suara menyokong kepimpinan Tun sekali gus bersedia untuk membantu Tun memulihkan ekonomi negara ,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan borang keanggotaan Bersatu daripada anak-anak Sabah di Semenanjung di sini.

Turut hadir, Pengerusi Pertubuhan Kinabalu Bersatu Adzmi Juatan.

Abu Bakar yang juga merupakan Setiausaha Politik perdana menteri berkata parti itu juga telah menerima banyak permohonan kemasukan baharu setiap hari.

“Mereka yang mahu masuk Bersatu, kita alu-alukan…mungkin sebelum ini ada yang nak masuk tetapi tidak tahu (bagaimana mendaftar) kerana kita parti baharu…jadi selepas ini mereka boleh dapatkan dan hantar borang keahlian di mana-mana pejabat Bersatu.

“Bagaimanapun untuk pengesahan keahlian kita tidak boleh membuat sebarang keputusan kerana ia perlu dibawa ke mesyuarat terlebih dahulu untuk dipertimbang sebelum pendaftaran mereka diluluskan,” katanya.

– BERNAMA

Foto Ihsan Pembaca
227