Ratu Filipina dinobat Miss Universe 2018

BANGKOK: Wakil Filipina, Catriona Gray, 24, dinobatkan sebagai Miss Universe 2018, dalam satu majlis gilang gemilang yang disiarkan secara langsung dari Impact Arena, Bangkok, hari ini.

Catriona, pelajar jurusan teori muzik meraih kemenangan itu selepas menewaskan 93 lagi calon dari seluruh dunia.

Tempat kedua dan ketiga pertandingan Miss Universe kali ke-67 itu, dimenangi wakil dari Afrika Selatan, Tamaryn Green dan Venezuela, Sthefany Gutierrez.

Pertandingan itu dihoskan oleh pengacara televisyen, Steve Harvey dan supermodel, Ashley Graham.

Berasal dari Albay, wilayah Bicol, Filipina, Gray adalah wakil keempat dari negara itu, yang mengungguli acara berprestij, Miss Universe selepas Gloria Diaz (1969), Margie Moran (1973) dan Pia Wurtzbach pada 2015.

Kemenangan itu diraih ketika Gray, keturunan Filipina dan Australia, memakai gaun malam warna merah yang diilhamkan dari Gunung Mayon, iaitu gunung berapi popular yang terletak di Albay.

Ia adalah hasil rekaan, pereka fesyen terkenal Filipina, Mak Tumang.

Ketika ditemubual selepas menerima mahkotanya, Gray berkata, beliau mahu mempertingkatkan lagi program pendidikan mengenai HIV/AIDS dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan di negaranya.

“Saya pernah kehilangan seorang sahabat rapat beberapa tahun lalu akibat komplikasi kesihatan berkaitan AIDS.

“Jadi, saya rasa amat penting untuk mempertingkatkan kesedaran mengenai isu ini dan pada masa sama menggalakkan orang ramai supaya menjalani ujian bagi mengetahui status kesihatan mereka.

“Ia adalah projek pertama yang ingin saya jalankan selepas ini,” katanya.

Beliau turut mendapat sorakan daripada penonton pada sesi temubual peringkat akhir Miss Universe itu, ketika menceritakan pengalaman bekerja di kawasan setinggan di Manila. – AFP

113