Rakyat Malaysia ditahan seludup dadah di Bali


DENPASAR: Ahli perniagaan Malaysia ditahan pihak berkuasa Indonesia di Bali baru-baru ini, atas kesalahan menyeludup dadah.

HAMDI (kanan) ditahan dengan 15 gram ganja dan 11 pil ecstasy. – Foto AFP

Menurut pihak berkuasa, ketika diberkas, lelaki itu dikatakan membawa sebuah beg mengandungi hampir 15 gram ganja dan 11 pil ekstasi.

Pihak berkuasa Indonesia kelmarin, berkata selain lelaki itu, turut ditahan empat lagi warga asing, masing-masing dari Jerman, Peru, China dan Britain.

Kesemua mereka ditahan berasingan dalam tempoh dua minggu.

Jika sabit kesalahan, kelima-limanya yang ditahan bakal berdepan hukuman mati.

Penahanan kesemua suspek dibuat dalam tempoh kurang sebulan selepas salah seorang anggota kumpulan penyeludup heroin atau ‘Bali Nine’ dibebaskan dari pulau pelancongan itu.

Renae Lawrence, 41, dibebaskan selepas menjalani hukuman penjara selama 13 tahun.

Polis Bali berkata, warga Peru, Jorge Rafael Albornoz Gammara, 44, ditahan ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai dari Dubai, minggu lalu.

“Hasil pemeriksaan, pegawai kami berjaya menemui 4.08 kilogram kokain yang disembunyikan di bahagian dalam bagasinya,” kata ketua pejabat imigresen tempatan, Untung Basuki pada satu sidang media.

Katanya, warga Jerman, Frank Zeidler, 56, pula ditahan ketika dalam perjalanan dari Bangkok selepas pihak berkuasa menemui 2.1 kilogram dadah hashish di dalam bagasi.

Sementara seorang pereka warga Britain berusia 45 tahun, diberkas selepas menerima bungkusan dari Thailand yang mengandungi 31 gram cecair ganja yang disembunyikan di dalam botol pati minyak.

Terdahulu, pada Sabtu lalu, rakyat China, Cui Bao Lin, 29, ditahan di lapangan terbang kerana memiliki lebih 200 pil ecstasy, manakala lebih 160 gram ketamin ditemui di dalam begnya. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *