Pengetua cilik

Buenos Aires: Dia baru berusia 12 tahun malah masih belajar di sekolah menengah, namun minat mendalam Leonardo Nicanor Quinteros untuk berkongsi ilmu dengan kanak-kanak kurang bernasib baik menyebabkan remaja itu membina sekolah swasta percuma.

BEBERAPA orang dewasa turut belajar di situ. – Agensi

Leonardo amat suka belajar dan tidak lokek berkongsi ilmu, malah ada antara ‘muridnya’ termasuk beberapa orang dewasa.

Leonard satu-satunya guru dan pengetua di sekolah itu.

Dia terbuka hati melakukan sesuatu selepas melihat terlalu ramai kawannya sukar mengikuti pembelajaran di sekolah, selain ramai kanak-kanak yang kurang berkemampuan lebih banyak menghabiskan masa bermain di atas jalan tanpa menghiraukan pendidikan.

Tahun lalu, dia menyatakan hasrat kepada neneknya Ramona untuk membuka sekolah dan memintanya membina bangunan kecil di sebelah kediamannya di Las Piedritas.

SEKOLAHNYA dilengkapi peralatan asas termasuk papan hitam dan loceng untuk menandakan waktu rehat. – Agensi

Ramona terus bersetuju dan hari ini sekolah swasta percuma Leonardo memiliki hampir 40 murid.


Leonardo, satu-satunya guru dan pengetua sekolah itu, amat bangga dengan perubahan dilihat dalam kalangan kanak-kanak yang datang belajar dengannya.

Jika dilihat dari luar, sekolah itu terlalu kecil dan tidaklah menarik dari segi rupa bentuknya, namun jiran serta organisasi yang kagum dengan usaha Leonardo kini turut memberi sumbangan untuk memperbaikinya.

Perkakasannya sekadar asas dengan bangku serta kerusi untuk murid, selain lokar, perpustakaan kecil, papan hitam dan loceng bagi menandakan waktu rehat.

Malah mereka berjaya mengolah sistem bunyi yang memainkan lagu kebangsaan Argentina pada permulaan kelas sama seperti sekolah lain.

Namun apa yang lebih mengagumkan mengenai sekolah itu adalah kualiti pendidikan ditawarkan dan sikap dedikasi Leonardo untuk membantu orang lain.

Walaupun tinggal 20 minit dari rumah neneknya, namun setiap hari tidak kira cuaca baik atau sebaliknya, dia mengayuh basikalnya meredah panas terik, salji atau hujan selepas kelas seharian untuk pergi pula ke sekolahnya bagi mengajar pelbagai mata pelajaran termasuk matematik dan tatabahasa.

Malah, dia cukup fleksibel dengan waktu mengajar termasuk mengadakan kelas pada waktu malam jika muridnya tidak dapat datang pada siang kerana tidak mahu mereka ketinggalan dalam pembelajaran.

Ramona mengaku kagum dengan cucunya itu.

“Dia tidak pernah ketinggalan dalam pembelajaran sendiri, saya juga tidak percaya betapa hebatnya apa yang dia lakukan,” katanya.

Walaupun kebanyakan daripada 36 muridnya jauh lebih muda termasuk ada yang masih di peringkat tadika, ada juga beberapa orang dewasa menghadiri kelas di situ.

Rata-rata muridnya mengaku belajar dengan Leonardo banyak membantu mereka.

“Dia membantu saya lulus peperiksaan dan kini saya dalam Gred Tiga,” kata seorang muridnya.

Kisah Leonardo tersebar di Argentina dan menjadi inspirasi untuk jutaan orang. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *