Harapan Rakyat lulus usul khas minta BERSATU lebarkan sayap ke Sabah

KOTA KINABALU: Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) dalam persidangan agung tahunan parti itu hari ini meluluskan usul khas untuk Parti Pribumi Malaysia Bersatu (BERSATU) mengembangkan sayap ke Sabah.

Usul itu dicadangkan Ketua Pemuda Harapan Rakyat Penampang, Jobit Yasin sebelum disokong sebulat suara perwakilan yang hadir pada persidangan berkenaan.

Ketika membentangkan usul itu, Jobit berkata ia dibuat sejajar dengan perjuangan untuk menegakkan proses demokrasi di Malaysia, khususnya di negeri ini.

“Maka dengan itu adalah dicadangkan supaya BERSATU Melebarkan sayapnya ke Sabah seperti apa yang dilakukan parti komponen Pakatan Harapan (PH) seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) yang sudah lama bertapak di Sabah,” katanya.

Katanya, sudah tiba masanya BERSATU sama-sama berjuang untuk meningkatkan pembangunan dan kemajuan kepada negeri dan negara dengan memberi peluang kepada rakyat Sabah untuk menjadi sebahagian daripada parti itu.

Katanya, ia juga sejajar dengan kedudukan Sabah sebagai rakan kepada Semenanjung ketika pembentukan Malaysia seperti terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Terdahulu, ketika bercakap kepada pemberita selepas melancarkan persidangan Harapan Rakyat, pagi tadi, presiden parti itu, Datuk Seri Lajim Ukin, berkata kemasukan BERSATU Ke Sabah akan memberi manfaat kepada rakyat dan nilai tambah kepada parti sedia ada di negeri ini.

“Tiada siapa boleh menghalang BERSATU untuk mengembangkan sayap ke negeri ini kerana ia adalah proses demokrasi,” katanya.

Persidangan kali kedua Harapan Rakyat itu turut dihadiri Naib Presiden BERSATU, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman. – Berita Harian

170