Sabah kemuka semula 13 kerusi tambahan DUN Sabah kepada SPR, PM

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan mengemukakan semula kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkaitan tambahan 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diluluskan DUN Sabah pada Ogos 2016.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata perkara itu akan dibawa semula untuk perhatian SPR dan Perdana Menteri supaya dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat yang akan datang.

Katanya, Perdana Menteri tiada hak menolak membawa perkara itu ke Dewan Rakyat kerana ia sudah menjadi undang-undang selepas diluluskan oleh DUN.

“Tapi dulu, ia tidak dibawa ke Parlimen..sepatutnya Perdana Menteri tidak boleh menolak kecuali undang-undang itu dibatalkan oleh DUN.

“Jadi tadi (ketika perbahasan DUN) perkara ini diusulkan semula dan dibincang. Sehubungan itu, saya akan kemukakan kepada SPR dan Perdana Menteri untuk dibentangkan pada sidang Parlimen akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada Majlis Penyerahan Balik Pinjaman Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) kepada kerajaan negeri sebanyak RM7 juta selepas Persidangan DUN Sabah, di sini, hari ini.

Isu 13 kerusi tambahan dibangkitkan Datuk Abidin Madingkir (UPKO-Paginatan) ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri Sabah (Pindaan) 2018 berkaitan pemansuhan had tempoh Yang di-Pertua Negeri Sabah.

Pada 9 Ogos 2016, DUN Sabah meluluskan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri Sabah untuk meminda Perkara 14 Fasal (2) bagi menambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kepada 73, berbanding 60 ketika ini.

Sementara itu, mengulas RUU Undang-Undang Perlombongan (Pindaan) 2018 yang diluluskan DUN Sabah hari ini, Mohd Shafie berkata tafsiran undang-undang yang lebih jelas perlu bagi menjaga kepentingan negeri termasuk yang berkaitan minyak dan gas.

Katanya, pindaan itu juga penting bagi mengelak pertikaian pada masa depan khususnya yang membabitkan kerajaan dengan pelabur yang membuka perlombongan di negeri ini.

“Oleh kerana perlombongan membabitkan tanah mereka (pelabur) mahu beli…ia juga ada kaitan dengan minyak dan gas. Yang penting, kita dapat urus dengan baik, jangan ada pertembungan undang undang, siapa punya tanah, siapa punya minyak, gas dan lain-lain.

“Undang-undang yang jelas dan teratur perlu untuk memastikan pengurusan yang baik demi kepentingan negeri dan rakyat,” katanya.

Dalam hal lain, Mohd Shafie berkata pihaknya terbuka menerima mana-mana pemimpin atau wakil rakyat pembangkang yang membuat keputusan mahu bekerjasama dengan kerajaan.

Merujuk kepada bekas pemimpin UMNO yang keluar parti semalam, beliau berkata ia sejajar dengan keutamaan kerajaan negeri dalam usaha menyatukan rakyat dan membangunkan semua kawasan.

“Tiada masalah atau sekatan, kita boleh bincang supaya ada penyatuan tetapi saya berharap tiada syarat kemasukan bagi kerjasama ini,” katanya – Berita Harian

105