Warisan tak akan khianati masyarakat KDM

KENINGAU – Parti Warisan Sabah (Warisan) tidak akan sama sekali mengkhianati masyarakat Kadazan Dusun dan Murut (KDM), kata Ahli Majlis Tertinggi Warisan, Mudi Dubing.

Beliau berkata, tanggapan buruk dilemparkan sesetengah masyarakat KDM terhadap perjuangan Warisan hanyalah persepsi salah semata-mata.

Sumber Gambar Facebook Mudi Dubing

“Perjuangan parti ini (Warisan) dipimpin Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Afdal adalah berbilang kaum.

“Warisan memberi layanan seimbang kepada semua anggota parti tanpa pilih kasih,” katanya ketika ditemui Bernama selepas menerima kemasukan 1,050 anggota baharu Warisan bagi kawasan Trans Pegalan di sini, hari ini.

Mudi berkata, kerajaan baharu pimpinan Mohd Shafie bersifat lebih terbuka kepada semua lapisan masyarakat pelbagai bangsa di Sabah dengan memastikan tiada siapa dipinggirkan.

Dalam pada itu, Mudi menggesa masyarakat KDM lebih berani menerima hakikat terhadap perubahan selain mahu mereka berusaha lebih agresif dan berdaya saing dalam segala aspek pembangunan.

Beliau turut menasihati anggota baharu parti supaya kreatif meningkatkan sosioekonomi dengan mengoptimumkan peluang disediakan kerajaan.

“Anggota baharu Warisan juga perlu memperkukuh parti di peringkat akar umbi sebagai kekuatan kerajaan kepimpinan ketua menteri,” katanya. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *