Sindiket tipu penanaman Musang King kaut RM3.19 juta

Pakej pelaburan penanaman durian musang king yang ditawarkan melalui media sosial. – Foto ihsan Pembaca

KOTA KINABALU: Polis menahan lima lelaki disyaki dalang sindiket penipuan pelaburan penanaman durian Musang King di daerah Sipitang membabitkan kerugian bernilai RM3.197 juta.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah, berkata polis menerima laporan pertama daripada seorang mangsa pada 28 November lalu yang mengatakan ditipu oleh sebuah syarikat pelaburan yang disyaki beroperasi di Melaka.

“Mangsa mengatakan ditipu sebanyak RM8,400 dengan memasukkan wang pelaburan ke atas satu penama warga tempatan.

“Hasil siasatan mendapati, setakat ini, sebanyak 155 laporan polis diterima dan kerugian yang dicatatkan adalah bernilai RM3,197,465 juta. Dijangkakan, selepas ini laporan polis akan bertambah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di Kepayan, di sini, hari ini.

Menurutnya, siasatan lanjut polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) IPK Sabah menahan lima lelaki disyaki terbabit dalam sindiket penipuan berkenaan.

Katanya, empat suspek ditahan di sekitar bandar raya ini manakala seorang suspek ditahan di Gombak, Selangor.

“Sindiket ini mula beroperasi pada Ogos lalu dan aktif November lalu. Semua mangsa tidak pernah berjumpa atau mengenali penganjur pelaburan ini.

“Taktik sindiket ini adalah membuat promosi di media sosial seperti Facebook, WhatsApp dan Telegram. Syarikat ini menawarkan pulangan yang lumayan kepada mangsa.

“Terdapat empat pakej yang disediakan kepada mangsa dan mereka yang bersetuju dengan pakej yang disediakan akan memasukkan wang dalam akaun bank yang diberikan oleh syarikat berkenaan,” katanya.

Omar berkata, siasatan masih diteruskan kerana terdapat lagi beberapa ahli sindiket yang masih bebas dan polis akan membuat tangkapan dalam masa terdekat.

“Kelima-lima suspek berusia 25 hingga 36 tahun kini direman bagi membantu siasatan. Salah seorang suspek mempunyai rekod orang dikehendaki di Semenanjung dan suspek juga mempunyai rekod kesalahan lampau membabitkan dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *