Tiada khabar daripada Yamani

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Sipitang, Yamani Hafez Musa, tidak pernah berhubung dengan UMNO Sipitang sejak menghilangkan diri selepas memenangi kerusi Parlimen Sipitang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), 9 Mei lalu.

Usaha menghubungi anak bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman itu, juga tidak berhasil kerana tidak menjawab panggilan atau membalas mesej yang dihantar melalui WhatsApp.

Keadaan itu menyebabkan tiada siapa tahu sama ada Yamani akan tampil di Dewan Rakyat untuk mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen sebelum tarikh akhir untuk beliau berbuat demikian yang dijadualkan tamat pada 15 Januari depan.

Timbalan Ketua Bahagian UMNO Sipitang, Matbali Musah, ketika dihubungi NSTP hari ini, memaklumkan beliau sendiri tidak tahu mengenai Yamani selain turut gagal menghubunginya.

“Setakat ini dengan saya belum ada (berhubung). Belum pasti (bila Yamani angkat sumpah) tetapi saya dengar risikan macam dia akan datang juga (angkat sumpah)… InsyaAllah sebelum 15 Januari,” katanya.

Matbali yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, berkata beliau sendiri tertanya-tanya mengenai masalah dihadapi Yamani yang menyebabkannya tidak dapat hadir mengangkat sumpah di Dewan Rakyat.

Semalam, NSTP melaporkan Yamani yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO Sabah dijangka hadir mengangkat sumpah sebelum tempoh yang ditetapkan kepadanya untuk berbuat demikian tamat seperti dimaklumkan Setiausaha Pemuda UMNO Sabah, Bahrin Abdul Karim.

Difahamkan Yamani kini berada di London dan akan pulang ke Malaysia sebelum tarikh berkenaan, namun tidak pasti bila memandangkan beliau tidak pernah menghubungi sesiapa dalam UMNO Sipitang, negeri atau Pemuda UMNO untuk memaklumkan kedudukannya.

Sebelum ini, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Ariff Md Yusof, menjelaskan pihaknya akan mengeluarkan surat peringatan terakhir kepada Yamani untuk tampil mengangkat sumpah segera atau berdepan hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen.

Katanya, Yamani ada membuat permintaan untuk mengangkat sumpah melalui sidang video namun Dewan Rakyat menolak permintaan itu kerana tiada peruntukan yang membolehkan kaedah itu dilaksanakan.

Mohd Ariff juga berkata, beberapa surat peringatan sudah dihantar kepada Yamani sebelum ini namun tiada balasan diterima. – Berita Harian

79