Duterte berjenaka pernah guna ganja

MANILA: Presiden Rodrigo Duterte mengaku mengambil ganja bagi membolehkan beliau berhadapan jadual ketatnya sebelum berkata ia cuma jenaka.

Menggambarkan pengalaman itu ketika Sidang Kemuncak ASEAN bulan lalu di Singapura, yang menyaksikan jadual mesyuarat dan persidangan ketat, pemimpin berusia 73 tahun itu berkata beliau terpaksa mengambil ganja untuk kekal bertahan.

“Sidang itu amat memenatkan secara fizikal. Saya rasa pada usia ini, sukar untuk saya menangani tekanan, jadi saya ambil ganja untuk terus dapat bertahan,” katanya dalam ucapan di istana presiden.

Beliau kemudian mendakwa kenyataan itu sekadar jenaka.

Bercakap tidak lama selepas itu, Duterte, yang dikenali dengan gaya lantang, menolak dakwaan beliau melakukan kesalahan dengan kenyataan mengenai penggunaan ganja itu.

“Ia cuma jenaka, sudah tentu ia satu jenaka, tetapi tiada siapa dapat menyekat saya melakukan gaya saya,” katanya, menambah sesiapa yang mengambil serius kenyataan itu ‘bodoh’.

Bagaimanapun, jenaka ganja itu tidak dipandang ringan oleh banyak pihak di Filipina yang boleh membawa hukuman penjara jangka panjang jika disabitkan bersalah memilikinya. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *