Jual rumah guna model separuh bogel

GAMBAR model berkenaan dengan bahagian belakangnya dilukis pelan rumah. FOTO/AGENSI

BEIJING: Sebuah syarikat hartanah di barat daya China berdepan tindakan pihak berkuasa selepas menggunakan model separuh bogel yang dicat badannya bagi mempromosikan satu projek perumahan baru.

China Youth Daily melaporkan, syarikat pelaburan Nanning Weirun pada Jumaat lalu mengupah beberapa model separuh bogel dan mengecat badan mereka dengan pelan rumah dan mesej mempromosikan projek South Station New City.

Gambar model itu segera tular di media sosial di China dan mencetuskan perdebatan dalam kalangan pengguna Twitter serta Weibo.

Ramai pengguna media sosial mengkritik cara promosi itu sebagai lucah tetapi ada yang berpendapat ia satu bentuk seni.

Ada pengguna media sosial turut memuat naik gambar model berkenaan dan bertanyakan soalan, “Rumah mana yang anda pilih?,”.

Seorang pekerja Nanning Weirun memberitahu portal berita Btime.com bahawa, promosi menggunakan model berkenaan adalah pertama dilakukan syarikat itu.

Pegawai daripada pihak berkuasa industri dan kewangan memberitahu portal berkenaan, promosi syarikat itu tidak dianggap satu penipuan kerana ia tidak mengandungi unsur penipuan pemasaran atau promosi melampau.

Bagaimanapun, syarikat itu diarahkan untuk menghentikan sementara jualan kerana masih belum memohon lesen untuk membuat jualan.

Polis juga menyiasat sama ada promosi yang digunakan syarikat itu berunsur lucah atau tidak. – Agensi

144