Pengambilalihan pelaksanaan Pan Borneo, jimatkan kos hingga RM2 bilion

PETER (tiga dari kanan) ketika melawat ruang pameran sempena Majlis Pengiktirafan dan Penghargaan JKR Sabah 2018, di Kota Kinabalu, hari ini. – Foto Facebook

KOTA KINABALU: Pengambilalihan pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo oleh Kementerian Pembangunan Infrastruktur (KPI) negeri dan Kementerian Kerja Raya akan mampu menjimatkan kos antara RM1 hingga RM2 bilion.

Menteri Pembangunan Infrastruktur negeri, Datuk Peter Anthony berkata, penstrukturan semula itu penting dalam memastikan pelaksanaannya berjalan lancar tanpa kepincangan seperti yang berlaku sebelum ini.

“Hasil penelitian yang dijalankan mendapati banyak ketirisan dalam pelaksanaan termasuk penggunaan batu atau ketebalan jalan yang dibina sebelum ini. Laporan yang dikeluarkan sebelum ini juga mendapati, banyak kontraktor fasa pertama terpaksa ditamatkan khidmat berikutan kualiti dan rekod kerja yang kurang memuaskan.

“Semua laporan dan bukti ini akan menyokong perlunya penstrukturan semula dan penambahbaikan pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pengiktirafan dan Penghargaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah 2018, di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Abdul Muis Pichodan Pengarah Kerja Raya Sabah, Ir Richard Jomiji Kinsil.

Peter berkata, kerajaan negeri sudah memutuskan untuk mengambilalih pelaksanaan projek ini namun masih perlu menunggu keputusan hasil perbincangan antara JKR negeri dengan Kementerian Kerja Raya yang dijangka esok.

“Saya yakin akan ada keputusan dalam masa terdekat untuk menyerahkan kuasa pelaksana kepada kerajaan negeri untuk mengawal selia projek lebuh raya ini.

“Kita mampu melaksanakan tanggungjawab ini kerana di pihak JKR negeri sendiri kita mempunyai kepakaran dan keperluan untuk melaksanakan projek Lebuhraya Pan Borneo ini,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Peter berkata kerajaan negeri sudah meluluskan penambahan 333 jawatan dalam Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta 675 jawatan dalam Kumpulan Pelaksana Satu melalui penstrukturan semula JKR.

Beliau berkata, jawatan baru itu adalah tambahan daripada usaha pengisian 570 jawatan kosong yang kritikal pada masa kini, yang bertujuan memastikan kelancaran perjalanan urusan pentadbiran, sokongan teknologi serta kepakaran teknikal dalam bidang tertentu.

“JKR adalah sebuah jabatan utama bertanggungjawab dalam perancangan, pemeriksaan, reka bentuk, pelaksanaan dan penyelenggaraan kemudahan infrastruktur selain melaksanakan projek projek lebuh raya, jejambat, jalan raya, bangunan, jambatan dan cerun,” katanya.

Peter berkata, JKR Sabah juga sudah mengambilalih pengurusan aset awam seperti jalan majlis dan sistem pembentungan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) secara berperingkat.

Katanya, kerajaan negeri juga sedang dalam proses menubuhkan sebuah entiti tunggal di bawah Kementerian Pembangunan Infrastruktur iaitu Jabatan Perkhidmatan Pembetungan Negeri Sabah, bertujuan memastikan tadbir urus dan isu berkaitan pembentungan akan lebih berfokus, komprehensif serta holistik. – Berita Harian

PETER ketika melawat ruang pameran sempena Majlis Pengiktirafan dan Penghargaan JKR Sabah 2018, di Kota Kinabalu, hari ini. – Foto Facebook
PETER ketika melawat ruang pameran sempena Majlis Pengiktirafan dan Penghargaan JKR Sabah 2018, di Kota Kinabalu, hari ini. – Foto Facebook