Letupan di pusat beli belah CityOne

KUCHING, 4 Dis  – Satu letupan yang kuat berlaku di pusat beli-belah CityOne pada pukul 3.30 petang tadi.

Saksi kejadian, George Sting, 39, berkata letupan itu berlaku di dalam sebuah kedai yang sedang diubah suai.

“Ketika kejadian saya sedang membeli pizza di hadapan kedai itu, tiba-tiba satu letupan kuat berlaku.

“Pekerja yang berada di dalam kedai tersebut lari bertempiaran keluar premis berkenaaan, ada di antara mereka yang cedera teruk seperti melecur,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di lokasi kejadian.

Grace Lee, 23, pembantu jurujual di sebuah telco di tempat kejadian berkata semasa kejadian dia sedang melayan pelanggan, tiba-tiba terdengar letupan dari sebuah kedai yang sedang disiapkan.

“Pihak pengurusan shopping mall terus membuat pengumuman kecemasan agar semua pengunjung  keluar dari pusat beli belah itu,” katanya.

Wina Simion, 46, berkata dia ketika itu sedang menikmati pizza di sebuah restoran bersama keluarga di hadapan kedai berkenaan, tiba-tiba berlaku letupan daripada kedai di hadapan menyebabkan meja terbang ke siling premis berkenaan.

Pengarah Operasi Bomba dan dan Penyelamat, Tiong Ling Hii ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut namun jumlah mangsa yang cedera parah belum dapat dipastikan.

– BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *